SEPANG – Penghafaz al-Quran perlu menguasai bahasa Arab supaya setiap terjemahan hafalan yang dibuat bermanfaat bukan sahaja kepada diri sendiri, malah buat masyarakat yang hidup dalam persekitaran mencabar ketika ini.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin berkata, adalah penting mereka yang telah menghafal 30 juzuk al-Quran untuk menimba ilmu bahasa Arab di Malaysia sebelum melanjutkan pelajaran ke timur tengah.
Katanya, bagi menjayakan hasrat itu, kerajaan telah menyediakan Universiti Islam Selangor yang dijadikan feeder school untuk pelajar tahfiz.
“Universiti itu menyediakan subjek yang diajar oleh tenaga pengajar berpengalaman dari timur tengah terutamanya mengenai bahasa Arab.
“Penguasaan bahasa Arab amat penting untuk memastikan ilmu al-Quran dapat diterjemahkan untuk maksud pembelajaran kepada generasi di negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Sijil Tamat Hafazan Al-Quran 30 Juzuk dan Sijil Kemahiran Malaysia Pengajaran Tahfiz 2025 di Maahad Tahfiz Kiblah, Jenderam Hilir di sini hari ini.
Pada majlis itu, seramai 16 pelajar diraikan selepas berjaya menamatkan hafalan al-Quran 30 juzuk selama dua hingga tiga tahun.
Sementara itu, Pengerusi Yayasan Kebajikan Nusantara, Tan Sri Dr. Hashim Meon berkata, 3,000 pelajar maahad itu telah berjaya menamatkan pengajian peringkat Sijil Pelajaran Malaysia.
“Daripada jumlah itu, 186 hafiz telah dikeluarkan dalam tempoh dua tahun bermula 2024. Maahad ini juga mempunyai Kolej Profesional Kiblah bagi melahirkan guru yang akan menjadi tenaga pengajar di Maahad Tahfiz di seluruh negara,” katanya.














