KUALA LUMPUR – Kematian seorang bayi lelaki berusia enam bulan ketika di bawah jagaan pengasuh di Datuk Keramat, di sini masih dalam siasatan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kejadian berlaku pada 26 November 2025 kira-kira pukul 3.40 petang apabila bapa mangsa menerima panggilan daripada pengasuh memaklumkan bayi tersebut tidak sedarkan diri ketika sedang tidur di sebuah rumah pengasuh di kawasan Kementah, Kuala Lumpur.
Beliau berkata, mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut namun disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan.
“Kes masih lagi dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan bahawa walaupun sudah tiga bulan berlalu, seorang ibu tetap menuntut keadilan berhubung kematian bayinya ketika di bawah jagaan pengasuh di Datuk Keramat pada hujung tahun lalu.
Ibu mangsa, Noor Ainy Mohd. Rusly, 33, yang bekerja sebagai jurutera teknologi maklumat berkata, dia dan suaminya masih belum dimaklumkan mengenai punca sebenar kematian anak mereka, Allahyarham Adyan Suhayl Mohamad Syamil Safri, yang meninggal dunia pada 26 November 2025. – KOSMO! ONLINE














