KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan sebanyak 482,742 saman terhadap pemandu warga asing sepanjang tempoh tiga tahun dari 2023 hingga 2025 menerusi pelaksanaan Operasi Pemandu Warga Asing (Pewa).
Pengarah Penguat Kuasa JPJ Malaysia, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 107,766 saman dikeluarkan pada tahun 2023, diikuti 183,300 saman pada 2024 dan 191,476 saman pada tahun 2025.
Menurutnya, dalam tempoh sama, JPJ turut mengambil tindakan sitaan ke atas 15,789 kenderaan yang dipandu oleh warga negara asing atas pelbagai kesalahan lalu lintas serius dan berulang.
“Kesalahan utama melibatkan pemandu warga asing adalah tiada lesen memandu, tiada cukai jalan dan tiada perlindungan insurans, selain pengubahsuaian kenderaan yang tidak dibenarkan,” katanya pada sidang akhbar Ops Pewa di sini, hari ini.
Beliau berkata, antara warga asing yang paling tinggi dikenakan tindakan terdiri daripada etnik Rohingya, Bangladesh, Indonesia, Timur Tengah, India dan China dengan jumlah keseluruhan seramai 462,835 pemandu.
Sementara itu, pemandu dari Thailand dan Singapura pula kebanyakannya menggunakan kenderaan berdaftar asing dan turut mencatatkan kadar tindakan saman yang tinggi.
Tambah beliau, JPJ tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pemandu warga asing yang melanggar undang-undang jalan raya, termasuk tindakan sitaan kenderaan serta pendakwaan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Dalam Ops Pewa yang dijalankan bersama Jabatan Imigresen Kuala Lumpur hari ini seramai 25 pemandu warga asing telah diserahkan kepada pihak imigresen untuk tindakan lanjut.
“Ops Pewa akan terus diperkasakan melalui kerjasama strategik bersama agensi penguat kuasa lain bagi memastikan keselamatan jalan raya tidak dipertaruhkan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, sebanyak 566 kenderaan telah diperiksa sepanjang Ops Pewa selama dua hari bermula semalam dan daripada jumlah tersebut, 57 unit motosikal serta empat buah kereta telah disita atas pelbagai keselahan selain 330 saman dikeluarkan. – KOSMO! ONLINE














