BOLEHKAH roh orang mati kembali ke dunia nyata?
JAWAPAN: MEREKA yang telah mati meninggalkan kita, roh mereka tidak mungkin kembali ke dunia lagi. Sama ada kembali untuk menziarahi ahli keluarganya, membalas dendam ataupun segala macam perbuatan manusia lain yang masih hidup.
Sama ada roh itu dalam keadaan baik ataupun buruk. Kami kemukakan di sini dalil-dalil yang berkait dengan permasalahan ini.
Firman Allah: “Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan. Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataan itu hanyalah kata-kata yang sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).” (Al-Mu’minuun: 100)
Al-Imam Ibn Jarir al-Tabari (wafat 310H) Rahimahullah menukilkan riwayat Mujahid Rahimahullah (tabi’en dan juga anak murid kepada Ibn ‘Abbas R.Anhuma) yang mana menyebut bahawa barzakh di dalam ayat di atas ialah hijab (seperti tembok penghalang antara orang telah mati untuk pulang ke dunia. [Lihat Tafsir al-Tabari. Muassasah al-Risalah, 19/71]
Firman Allah lagi: “Allah (Yang Menguasai Segala-galanya), Ia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya; kemudian Ia menahan jiwa orang yang Ia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya).” (Al-Zumaar: 42)
Ayat di atas juga menjadi dalil yang menunjukkan bahawa roh orang yang mati tidak akan kembali, bahkan Allah berkuasa menahannya dari kembali ke dunia.
Kesimpulannya, setelah melihat kepada nas-nas yang ada beserta pendapat para ulama, kami nyatakan di sini bahawa roh tidak mampu untuk pulang ke dunia kerana ia berada di satu alam dinamakan barzakh. Ia seperti mana yang telah kita bincangkan di atas.
Nas yang sahih seperti yang terdapat pada hadis Jabir RA menjadi pemutus dan penghukum, di samping tafsiran para mufassirin mengenai ayat-ayat al-Quran berkaitan isu ini, yang menunjukkan bahawa roh tidak dapat kembali ke dunia.
Terdapat juga pendapat yang mengatakan bahawa roh orang telah mati boleh bertemu dengan roh orang masih hidup ketika mereka sedang tidur (di dalam mimpi). [Lihat Ibn Qayyim al-Jauziyyah. Al-Ruh, hlm. 20]
Adapun mengenai roh orang yang mati mendengar orang menziarahinya di kubur, maka telah kami menjawabnya dalam siri Irsyad al-Fatwa ke-106. Para pembaca boleh merujuknya bagi mendapatkan jawapan.














