fbpx
KIA Carnival facelift 2026 yang merupakan model CKD dilancarkan Kia Sales Malaysia pada 15 Januari lalu di Kuala Lumpur.

Kia Carnival facelift 2026 tampak lebih menyerlah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DALAM dunia automotif yang semakin didominasi oleh kenderaan utiliti sukan (SUV), Kia Carnival sebuah model kenderaan pelbagai guna (MPV) bersaiz besar tampil dengan penambahbaikan baharu.

Ini membuktikan MPV masih relevan dan menjadi pilihan pengguna di Malaysia terutama keluarga besar atau sesuai untuk kegunaan kenderaan pejabat yang premium.

Sejak pelancaran generasi keempatnya pada 2022, Kia Carnival sudah mempunyai peminatnya tersendiri dan dikenali sebagai ‘MPV yang tidak kelihatan seperti MPV’.

Kia Sales Malaysia (KSM) telah melancarkan Kia Carnival baharu versi facelift 2026 pada 15 Januari lalu dengan identiti lebih moden dan matang selari dengan bahasa rekaan terkini Kia.

KIA Carnival versi dipertingkat ini kelihatan seperti sebuah MPV besar eksklusif dengan gril depan lebar dan lampu depan yang membawa imej futuristik.

Generasi terbaharu dengan pemasangan tempatan (CKD) itu ditawarkan dalam dua varian iaitu 2.2D 11 tempat duduk pada harga RM188,888 dan 2.2D 7 tempat duduk RM248,888.

Kedua-dua varian menggunakan enjin 2.2 liter turbodiesel empat silinder Smartstream yang menghasilkan kuasa 202PS dan tork maksimum 440Nm.

Enjinnya digandingkan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan pacuan roda depan dengan penggunaan bahan api gabungan yang seimbang sekitar 6.5 liter bagi setiap 100 kilometer (km) mengikut kitaran NEDC.

Menyentuh mengenai reka bentuk, MPV premium ini direka dengan falsafah Kia ‘Opposites United’ (Menyatukan Perbezaan) apabila Kia Carnival baharu ini menerima sentuhan visual lebih menyerlah.

Rekaan luarannya nampak lebih garang dan maskulin dengan perubahan menampilkan gril depan lebar dilengkapi oleh bampar yang ‘diukir’ jitu memberi rupa lebih lebar dan aerodinamik.

Garis badan kekal besar dan tegap, namun sentuhan kemasan baharu menjadikannya lebih eksklusif.

Bagi varian 11 tempat duduk, kerusi tengah pada barisan kedua dan ketiga boleh dilipat untuk memudahkan pergerakan ke bahagian belakang.

Seterusnya, lampu nyalaan siang (DRL) dengan grafik ‘Star Map’ bersama rekaan lampu depan menegak membawakan imej teknologi tinggi dan elemen futuristik pada MPV ini.

Di bahagian belakang, Kia Carnival menonjolkan wajah yang lebih anggun dan progresif dengan tempat letak nombor plat telah dialihkan di bawah pintu but menjadikan permukaan pintu lebih seimbang serta lampu belakang turut menggunakan motif ‘Star Map’.

Bagi varian 11 tempat duduk menggunakan konfigurasi 2-3-3-3 dengan kerusi tengah pada baris kedua dan ketiga boleh dilipat bagi memudahkan pergerakan penumpang ke bahagian belakang.

Sementara varian tujuh tempat duduk disusun 2-2-3 dan dilengkapi kerusi Relaxation Premium dengan fungsi gelongsor sisi di baris kedua, malah kerusi baris ketiga boleh dilipat rata untuk ruang tambahan kargo.

Bagi pandangan penulis, sebagai sebuah MPV besar eksklusif, Kia Carnival bukan lagi sekadar MPV untuk menghantar anak ke sekolah tetapi kini akan menarik perhatian ketika meluncur di jalan raya.

Tidak terasa janggal jika Kia Carnival digunakan sebagai kenderaan keluarga secara santai mahupun tampil sebagai MPV korporat.

Meninjau ke ruangan kabin pula, ia menampilkan sentuhan moden minimalis diserlahkan dengan pencahayaan ambien pada papan pemuka, panel pintu dan pelapik dalaman, selain panel instrumen dan kawalan pendingin hawanya yang diatur secara mendatar kelihatan lebih kemas.

Satu ciri menyerlah pada ruang pemandu ialah skrin panorama melengkung dengan dua unit paparan yang terdiri daripada skrin instrumen digital saiz 12.3 inci dan skrin infotainment 12.3 inci yang disatukan dalam panel yang nampak mewah.

Bagi aspek keselamatan, Kia Carnival baharu dilengkapi dengan lapan beg udara termasuk beg udara sisi tengah yang mencegah perlanggaran sampingan antara penumpang tempat duduk depan sekiranya berlaku hentakan.

Kedua-dua varian menyediakan ciri-ciri keselamatan dan bantuan pemandu komprehensif termasuk bantuan mengelak perlanggaran depan 2.0, bantuan had kelajuan pintar, bantuan mengekalkan lorong serta amaran penumpang belakang.

Penulis belum berkesempatan untuk memandu uji Kia Carnival facelift 2026 ini, namun sebahagian pengguna dikatakan setia dengan Kia Carnival selama bertahun-tahun kerana aspek pemanduannya yang selesa selain kurang gegaran dengan pemanduan stabil untuk perjalanan jauh.

Kesimpulannya, Kia Carnival tidak lagi dipandang sebagai ‘van keluarga’ sebaliknya kini memberi status premium setaraf model mewah dengan rekaan lebih eksklusif.

Malah, MPV ini dikatakan lebih praktikal berbanding SUV besar lain di pasaran dengan pelbagai penawaran menarik tanpa kompromi.

Penggunaan enjin diesel pada Kia Carnival walaupun menjadi pertikaian dalam kalangan orang ramai, ia disifatkan sebagai ‘bonus’ oleh pengedar jenama Korea ini yang dikatakan lebih cekap tenaga dan membantu pemanduan lebih mantap untuk saiznya yang besar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN