fbpx
Dari kiri Lai Yan; Timbalan Pengarah Bahagian Perancangan Strategik, Penyelidikan Komunikasi Strategik MATRADE, Edison Choong; dan Pengarah Kanan - Pajakan, Pavilion KL, Lovell Ho meraikan kerjasama antara Onecare dan Pavilion KL pada majlis pembukaan.

Sirih pulang ke gagang: Onecare buka cawangan fizikal di Kuala Lumpur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Selepas bertahun-tahun menempa nama di pasaran antarabangsa dan platform digital, jenama kesejahteraan tempatan, Onecare kini melangkah secara rasmi ke pasaran runcit Malaysia dengan pembukaan kedai fizikal pertamanya di Pavilion Kuala Lumpur.

Onecare yang diasaskan pada 2009 di Malaysia dan Singapura, sebelum ini membina kredibilitinya di luar negara dengan kehadiran di Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun, Australia, New Zealand, Hong Kong, Vietnam, Filipina serta Asia Barat.

Pembukaan cawangan di Pavilion Kuala Lumpur menandakan kemasukan strategik Onecare ke pasaran tempatan, didorong oleh perubahan corak pengguna Malaysia yang kini lebih berpengetahuan dan selektif, dengan penekanan terhadap formulasi produk, kredibiliti serta kesan jangka panjang terhadap kesihatan.

Ia juga seiring dengan pertumbuhan sektor kesejahteraan negara.

Laporan Ekonomi Kesejahteraan Global 2025 oleh Institut Kesejahteraan Global baru-baru ini menganggarkan nilai ekonomi kesejahteraan Malaysia mencecah AS$31.8 bilion (RM125.36 bilion), sekali gus meletakkan negara di kedudukan ke-10 di rantau Asia Pasifik dan ke-29 di peringkat global.

Menerusi cawangan di Pavilion Kuala Lumpur, Onecare memperkenalkan rangkaian produk teras merangkumi kesihatan wanita, nutrisi kecantikan dari dalam, sokongan kesihatan usus dan metabolik, imuniti serta penyelesaian kesejahteraan gaya hidup.

Lai Yan berucap pada majlis pembukaan cawangan fizikal sulung Onecare di sini, bertempat di Pavilion KL.

Syarikat itu memaklumkan bahawa formulasi produknya dibangunkan menggunakan gabungan pelbagai ramuan berasaskan penyelidikan saintifik, hasil pengalaman mengendalikan pasaran antarabangsa yang lebih terkawal.

Pengasas dan Pengarah Urusan Onecare, Tan Lai Yan berkata, pertumbuhan syarikat sejak penubuhannya dipacu oleh pendekatan yang meletakkan fokus utama kepada pelanggan serta komitmen berterusan terhadap kualiti.

“Keutamaan terhadap standard ramuan dan integriti produk menjadi asas Onecare dalam membina kepercayaan pengguna,” katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa jenama tempatan berupaya meraih pengiktirafan global.

“Pengalaman Onecare di pasaran antarabangsa menjadi bukti bahawa masyarakat global turut menerima produk buatan Malaysia,” tambahnya.

Selain di Pavilion Kuala Lumpur, cawangan kedua Onecare telah memulakan operasi di Pavilion Bukit Jalil.

Onecare turut menyasarkan pembukaan cawangan ketiganya di pusat beli belah 1 Utama, Petaling Jaya dalam masa terdekat. Kehadiran cawangan-cawangan fizikal ini membolehkan interaksi lebih dekat dengan pelanggan menerusi sesi konsultasi dan pendidikan. – KOSMO! ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN