BOSSLAT atau nama mesranya, Lat, berasal dari Bestari Jaya, Selangor. Nama Bosslat itu sendiri wujud secara spontan iaitu gabungan panggilan manja ‘Lat’ dan gelaran ‘Boss’ yang melekat seiring perjalanannya membina empayar perniagaan pancing.
Namun siapa sangka, sebelum terkenal dalam dunia memancing, Bosslat hanyalah seorang kontraktor biasa, sebelum hidupnya berubah sepenuhnya ketika negara dilanda pandemik Covid-19.
Waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjadi titik tolak segalanya.
Dalam keadaan ekonomi tidak menentu, dia mula menjual pelbagai barangan terpakai dari rumah, termasuklah mesin jahit, sofa dan mesin basuh.
Secara kebetulan, ketika menjual satu kekili pancing lama di marketplace, sambutan yang diterima sangat luar biasa.
Dari situlah dia mula menyedari potensi besar dalam pasaran peralatan memancing.
Tanpa latar belakang perniagaan pancing, Bosslat belajar sendiri dengan mencari pembekal, mengkaji harga dan menyesuaikan diri dengan permintaan pasaran semasa.
Dua tahun pertama, operasi dijalankan sepenuhnya dari rumah di tingkat enam, sebelum dia berani membuka kedai pancing fizikal di Setapak, Kuala Lumpur.
Namun realitinya tidak semanis disangka. Setahun pertama, kedainya sepi tanpa pelanggan.
“Kalau kau fikir buka kedai pancing, baca surat khabar pagi, tunggu orang datang, itu old fashion,” ujar Bosslat sambil ketawa.

“Sekarang bukan masa untuk menunggu, tetapi kena cari orang,” sambungnya lagi dengan tegas.
Baginya, dunia sudah berubah, kejayaan dalam industri ini 70 hingga 80 peratus bergantung pada pemasaran digital.
Siaran live media sosial menjadi ‘senjata’ utama membina komuniti pelanggan.
Tegasnya, apabila orang tengok hari-hari, lama-lama nama kita melekat di sanubari mereka.
Ketika menyentuh tentang dunia pancing, Bosslat akui dirinya bukanlah seorang pemancing tegar pada awalnya.
Namun minatnya berkembang apabila mula bergaul dengan komuniti kaki pancing daripada pelbagai latar belakang.
Dari situ, dia mula mengenali dunia pancing laut dalam, khususnya trip ke Luconia, Sarawak.
Pengalaman sebenar memancing di laut lepas membuka mindanya.
Bosslat menceritakan bagaimana dia bergaul dengan pemancing veteran iaitu golongan pesara yang memancing bukan kerana hasil tangkapan, tetapi ketenangan dan persahabatan.
“Mereka tidak agresif. Dapat ikan besar pun kekal tenang. Kita, dapat ikan kecil pun jerit satu bot,” ujarnya.
Trip pertama ke Luconia menjadi kenangan yang tidak mungkin dilupakannya selepas berjaya menewaskan seekor ikan gerepoh (giant trevally) seberat 21 kilogram. Dari situlah, cintanya terhadap pancingan laut menjadi semakin mendalam.
“Bukan ikan yang kita kejar, tapi pengalaman dan kepuasan itu mahal,” katanya sebelum menutup bicara.
Bosslat membuktikan bahawa dunia memancing bukan sekadar hobi, ia boleh menjadi sumber rezeki, wadah persahabatan dan medan mencari makna dalam kehidupan.














