HONG KONG – Seorang kanak-kanak Hong Kong berusia 11 tahun terpaksa mengemudi kereta selepas bapanya pengsan ketika memandu, sebelum kenderaan itu berlanggar dengan kereta lain, lapor portal brita Mothership.
Kejadian berlaku pada 26 Januari lalu sekitar pukul 6.20 petang (waktu tempatan).
Dalam insiden tersebut, bapa kanak-kanak itu sedang memandu di sepanjang Jalan Shing Sai sebelum dia tiba-tiba tidak sedarkan diri.
Ia menyebabkan anak mangsa yang duduk di tempat duduk penumpang depan, mencapai stereng untuk mengawal kenderaan itu.
Kereta itu terus bergerak sejauh hampir 100 meter sebelum ia bertembung dengan kereta lain dan meneruskan perjalanan.
Ia akhirnya berhenti selepas melanggar pembahagi jalan berhampiran Jalan Rock Hill.
Bonet kereta itu rosak, manakala kenderaan tujuh tempat duduk yang dilanggarnya mengalami kerosakan di bahagian belakang.
Kanak-kanak tersebut dan bapanya serta pemandu kenderaan yang dilanggar tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala kejadian itu sedang disiasat. – AGENSI














