ZAMAN persekolahan menyimpan pelbagai kenangan buat pemuda itu terutama ketika zaman sekolah menengah.
Bagi Razman (bukan nama sebenar), semasa di sekolah menengah, dia merupakan pelajar yang aktif dalam aktiviti sukan dan badan beruniform.
Membesar di Teluk Intan, Perak, penglibatan tersebut juga banyak membawa dia ke pelbagai negeri bagi menyertai kejohanan sukan dan kem-kem motivasi.
Kongsinya, dia pernah mempunyai pengalaman seram semasa menyertai satu kem ukhuwah yang dianjurkan di Melaka.
“Sehingga kini, saya masih ingat akan kejadian mistik yang berlaku semasa saya di sebuah kem motivasi yang melibatkan dua buah sekolah. Satu lagi sekolah dari Pasir Mas, Kelantan.
“Kejadian tersebut menyebabkan ramai pelajar terlibat. Disebabkan perbuatan kami, ramai yang terkena tempiasnya,” katanya ketika dihubungi CitaRasa baru-baru ini.
Berkongsi kisah tersebut, dia memaklumkan, seramai 30 pelajar terlibat dalam kem motivasi berkenaan.
Razman teruja untuk menyertai program selama lima hari itu kerana semua rakan rapatnya turut menyertai program tersebut.
Malah, program itu dianggap sebagai platform untuk mereka bersama semasa musim cuti sekolah.
“Kami semua ada lima orang. Di sekolah, guru-guru sering memanggil kami geng hantu kerana kerenah kami yang nakal.
“Jika di sekolah, kami sering menyakat rakan-rakan lain terutama pelajar perempuan atau adik junior dengan ‘prank’ hantu dan sebagainya,” ujarnya.
Katanya lagi, semasa tiba di kem, dia dan rakan-rakan sudah merencana untuk melakukan usikan kepada pelajar sekolah lain kerana kawasan tersebut agak terpencil iaitu dalam kebun sawit.
Pada hari pertama, Razman dan rakan-rakan sudah melakukan perancangan untuk melakukan ‘prank’ hantu pocong di asrama kediaman pelajar lelaki.
Rancangan mula dilakukan pada malam hari kedua, dengan Razman menjadi pocong menggunakan cadar asrama.
Disebabkan terlalu teruja, mereka tidak mengendahkan teguran rakan lain yang mengingatkan bahawa kawasan itu agak menyeramkan kerana jarang digunakan sebelum ini.
“Aktiviti kami bermula pada pukul 12 tengah malam, saya dibawa oleh rakan lain ke bilik pelajar dari Kelantan yang berada di tingkat empat.
“Kawan-kawan lain pula berperanan menghidupkan suasana seram dengan melakukan bunyi-bunyi aneh seperti mengetuk pintu dan tingkap bilik,” jelasnya.
Kongsinya lagi, bunyi-bunyi tersebut telah membangunkan salah seorang pelajar yang sedang tidur, sekali gus menjadi petanda bahawa aksi perlu dimulakan.
Razman kemudian menggunakan kepalanya untuk mengetuk pintu bilik yang membuatkan pelajar terbangun tadi berjalan untuk membuka pintu.
Selepas pintu dibuka, pelajar tersebut terkejut dan menjerit kerana melihat pocong sedang berdiri di depannya.
“Memang kelakar selepas melihat pelajar tersebut terkejut beruk. Selepas itu, saya dan rakan-rakan terus lari ke bilik asrama kami di blok bersebelahan.
“Semasa sedang menuruni tangga blok, kami terkaku melihat ada susuk putih seperti pocong berada di laluan tangga di antara tingkat tiga dan dua.
Katanya, dia dan rakan lain seolah-olah tidak boleh bergerak selepas susuk tersebut berpaling kepada mereka.
Kemudian, tiga daripada rakan Razman mula menjerit seperti terkena histeria, malah ada jatuh dari tangga.
“Masih jelas dalam ingatan saya, pocong itu mula melompat dan berada betul-betul di depan muka saya.
“Ketika itu, saya mahu menjerit tetapi tiada suara yang keluar. Kemudian pandangan mula gelap, sebelum saya pengsan di tangga tersebut,” ujarnya.
Kongsi Razman lagi, selepas sedar, dia mendapati dia sedang terbaring di dalam surau sambil dikelilingi oleh para peserta kem motivasi.
Rakan-rakan komplot yang lain turut berada di situ, dan mereka juga baru sedar daripada pengsan.
Melihat diri masih mengenakan sarung pocong, Razman berkata, dia rasa malu kepada pelajar-pelajar yang dikenakan oleh mereka.
“Menurut warden, kami ditemui di tangga dalam keadaan histeria, sebelum dibawa ke surau untuk mendapatkan bantuan ustaz.
“Kami kemudian mendapat teguran daripada penganjur program.
“Sebagai tindakan tatatertib, kami dikenakan hukuman untuk membersihkan dewan makan dan membasuh tandas di asrama,” katanya.
Sejak itu, Razman memaklumkan, dia tidak berani lagi melakukan ‘prank’ berkaitan hantu secara semberono, meskipun masih berkelakuan nakal bersama geng hantunya.














