KANGAR – Taktik penyeludup menggunakan gabus bagi mengapungkan guni berisi 13 kilogram (kg) ganja sebelum diambil anggota sindiket terbongkar apabila dadah itu berjaya dikesan pihak kastam di perairan Kuala Perlis, awal bulan ini.
Guni berwarna merah jambu tertera tulisan dalam bahasa Thai dan diikat pada gabus itu dijumpai pasukan operasi Cawangan Penguatkuasaan/Marin Kuala Perlis Jabatan Kastam Diraja Malaysia negeri yang melakukan rondaan perairan kira-kira pukul 8 malam, 4 Januari lalu.
Pengarah Kastam negeri, Ismail Hashim berkata, pemeriksaan ke atas guni tersebut menemui 13 ketulan mampat disyaki ganja yang dianggarkan bernilai RM40,300.
“Modus operandi kegiatan ini adalah meninggalkan guni berisi dadah dalam keadaan terapung di perairan Kuala Perlis untuk dipungut individu lain.
“Pasukan operasi menunggu selama kira-kira 30 minit, namun tiada sesiapa dilihat menghampiri guni tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Kastam Perlis, di sini hari ini.
Menurut beliau, bekalan ganja itu dipercayai untuk pasaran utara dan Lembah Klang serta boleh digunakan oleh kira-kira 65,000 penagih dengan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, dalam kes berasingan, beliau berkata, pihaknya turut menyita 50,000 batang rokok dianggarkan bernilai RM15,000 dengan cukai berjumlah RM34,500 di Arau, dekat sini pada 12 Januari lalu.
“Rokok itu ditemui dekat tandas, hasil pemeriksaan ke atas sebuah premis terbiar di Kampung Guar Nangka, Arau. Kita percaya modus operandi kegiatan ini adalah menjadikan premis terbiar sebagai tempat transit sementara untuk menyimpan rokok sebelum diedarkan ke pasaran tempatan,” jelasnya.
Katanya, bekalan rokok itu dipercayai datang dari kawasan selatan atau Lembah Klang untuk pasaran negeri ini.
Tambahnya, rokok merupakan barangan larangan dan tertakluk kepada permit import yang dikeluarkan Ketua Pengarah Kastam seperti ditetapkan dalam Butiran 1 Jadual III, Bahagian II Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya. – KOSMO! ONLINE














