CYBERJAYA – Semua pintu masuk utama negara dijangka menggunakan pintu automatik (autogate) sepenuhnya bermula April depan susulan pelaksanaan sistem pemeriksaan imigresen yang beralih kepada konsep penyedia perkhidmatan tunggal.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan menambah baik pengalaman pergerakan keluar masuk pelancong dan rakyat tanpa menjejaskan aspek keselamatan negara.
Katanya, buat masa ini, ini sistem pelepasan imigresen negara masih bergantung kepada tiga penyedia perkhidmatan berbeza yang mana peralihan kepada sistem tunggal dibuat bagi memastikan tiada gangguan operasi.
“Perolehan sudah selesai, namun peralihan daripada tiga sistem kepada satu sistem ini mesti dilakukan dengan penuh perancangan.
“Tanggungjawab kita adalah memastikan hasil akhirnya memberi pengalaman yang lebih lancar kepada orang ramai dan pelancong, tanpa kepayahan serta tidak berkompromi dari segi keselamatan,” katanya ketika majlis sembang santai bersama media di sini hari ini.
Saifuddin berkata, secara keseluruhan sebanyak 635 unit autogate akan ditempatkan di seluruh pintu masuk negara sebagai sebahagian daripada proses peralihan tersebut.
Tambahnya, keutamaan diberikan bagi memastikan peralihan daripada sistem lama kepada sistem baharu berjalan tanpa sebarang gangguan di kaunter imigresen.
“Kita kini berada dalam fasa percubaan dan pemantauan. Sekiranya berlaku gangguan, puncanya akan dikenal pasti sama ada melibatkan sistem atau infrastruktur dan tindakan mitigasi akan dilakukan segera,” katanya.
Kata beliau, projek tersebut merupakan projek peralihan besar dalam reformasi pintu masuk negara bagi menggantikan tiga penyedia perkhidmatan lama kepada satu penyedia perkhidmatan tunggal.
“Tempoh peralihan ini akan bermula pada awal suku kedua tahun ini dengan pengoperasian keseluruhan 635 autogate di pintu masuk negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE














