MEMULAKAN kerjaya sekitar tahun 2021, perjalanan seni Ezaidi Aziz mungkin tidaklah serancak pelakon baharu lain, namun namanya tetap menjadi bualan peminat drama tanah air.
Mengakui masih terlalu hijau dalam industri, hati pemilik nama penuh Mohammad Ezaidi Abd. Aziz itu tidak pernah berasa terkilan melihatkan kariernya masih di takuk sama.
Menurutnya, bagi memahat kukuh nama, dia tidak akan sesekali telalu selektif dalam pemilihan watak mahupun jenis drama yang ditawarkan.
“Sebagai orang baharu, saya sedar ruang dan peluang, disebabkan itu tak mahu cerewet jika ditawarkan watak apa sekali pun.
“Tidak kisah kalau bukan watak hero atau peranan utama sebab itu bukan penanda aras dalam kerjaya saya.
“Paling penting lakonan itu membekas dalam ingatan penonton dan nama kekal relevan,” kata pelakon berusia 30 tahun itu kepada HibGlam baru-baru ini.
Mengulas mengenai namanya lambat panas seperti beberapa rakan seangkatan lain, dia mengakui tidak mahu terburu-buru dalam mencipta nama kerana bimbang kualiti kerja tidak setara dengan populariti diraih.
“Lambat panas? Saya tak pernah fikir pun tentang itu sebab yakin semua ini Allah sudah susun atur cantik untuk saya.
“Saya bahkan tiada setitik penyesalan pun kalau orang masih tak kenal siapa Ezaidi Aziz.
“Tapi saya juga tak mahu terlalu lama nama orang tidak kenal dan sebab itu, saya perlahan-lahan menyusun strategi bagi mengukuhkan kerjaya seni,” ujarnya yang turut membintangi drama Setiaku Berdiri yang kini rancak disiarkan menerusi Astro Ria.
Sudah sebati
Ezaidi juga berkali-kali menegaskan mahu melawan sifat introvert yang sudah sebati dengan dirinya sejak bertahun lamanya.
“Selain nak elak ‘overthinking’, saya juga usaha mengikis sifat introvert sebab adakalanya seperti memakan diri sendiri pula.
“Ramai cakap saya sombong ketika pertama kali bertemu tetapi hakikatnya saya tidak pandai memulakan perbualan.
“Sekarang sudah okey sikit, awal-awal dulu sampai orang cakap saya ‘kekwat’.
“Jadi, untuk elak dilabel dengan perkara negatif, saya akan salam dan tegur semua orang di set penggambaran supaya lebih cepat mesra atau dianggap sombong,” jelasnya yang turut menyertai kelas lakonan dengan beberapa pelakon senior seperti Farah Ahmad dan Datuk Fauziah Nawi.
Ditanya sasaran dalam tempoh lima tahun mendatang, dia tanpa berselindung mahu kerjaya seninya berjaya seperti aktor, Syafiq Kyle.
“Saya berkawan dengan Syafiq dan bila tengok perjalanan seni dia, memang kagum, sekarang orang mengejar dia.
“Jadi, harap kerjaya saya juga akan sehebat Syafiq satu hari nanti. Tidak perlu bergerak terlalu laju tetapi cukup dapat banggakan diri sendiri.
“Saya tak kisah kalau orang tak kenal sekarang tetapi tahu kewujudan saya selepas ada karya hebat,” tuturnya yang mahu menjadi pelakon versatil.
Dia juga mahu lebih agresif dalam dunia lakonan bermula tahun ini.
“Sekarang fasa saya mencabar diri, terima sahaja setiap watak namun tetap utamakan kualiti.
“Harap tawaran lakonan juga turut agresif menghujani saya tahun ini,” ujarnya lagi seraya menggulung perbualan.














