fbpx
Antara pelanggan yang mengunjungi kedai emas di Pasar Payang, Kuala Terengganu semalam. Foto oleh PUQTRA HAIRRY

‘Berpesta’ jual dan gadai barang kemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Lonjakan harga emas yang mencecah RM650 segram ketika ini mendorong orang ramai menyerbu kedai-kedai emas selain premis pajak gadai untuk menjual pelbagai barang kemas milik mereka bagi mendapatkan keuntu­ngan tunai.

Menurut pelanggan, ini adalah masa paling sesuai untuk menjual emas yang disimpan sekian lama khususnya untuk menampung perbelanjaan harian selain sebagai persiapan menjelang Ramadan dan Aidilfitri.

Di Kuala Terengganu, seorang pelanggan mampu memperoleh RM80,000 hanya dengan menjual seutas gelang tangan yang disimpannya sejak lebih 30 tahun lalu.

Pelanggan dikenali sebagai Wong, 58, itu berkata, gelang tangan itu dibelinya pada harga RM4,160 pada tahun 1990 dan masih disimpan sehingga kini.

“Saya datang ke kedai ini untuk bertanya nilai semasa ge­lang tangan dan tidak sangka pula harganya sudah mencecah lebih RM80,000. Saya tidak fikir panjang dan terus menjualnya.

“Duit hasil jualan saya mahu simpan untuk kegunaan lain selepas ini,” katanya kepada Kos­mo!.

Seorang lagi pelanggan, Sya­mira Nazuha Malek, 29, berkata, gelang emas yang dibelinya kira-kira tiga tahun lalu juga turut mengalami kenaikan harga berkali ganda.

“Tidak sangka bezanya sangat banyak dan betul orang kata, simpan emas memang tidak akan rugi,” tambahnya.

Dalam pada itu, pemilik kedai emas di Pasar Payang, Nursheila Majid berkata, dia mengambil inisiatif dengan memperkenalkan pakej tukar beli untuk menarik kehadiran pelanggannya.

“Kita mahu galakkan pelanggan bukan sahaja menjual, tetapi menukar barangan kemas lama kepada rekaan baharu,” katanya.

Di Kota Bharu, sebuah kedai emas di Pasar Siti Khadijah di sini diserbu lebih 20 pelanggan untuk membeli dan menukar barang kemas lama sebagai persiapan untuk menyambut lebaran.

Hidayah (kanan) melayan pelanggan yang membeli gelang emas di Kedai Emas Dhia Gold, Kota Bharu semalam.

Jurujual Kedai Emas Dhia Gold, Hidayah Yusoff, 25, berkata, kebanyakan pelanggannya datang dari Pahang, Selangor dan Thailand untuk membeli emas baharu.

Menurutnya, walaupun harga emas baru mencecah RM613 se­gram dan terpakai RM582 segram, pelanggan sanggup membelanjakan ribuan ringgit semata-mata untuk membeli rantai atau gelang pelbagai corak.

“Ada juga yang membawa emas lama dan ditukar dengan emas baharu untuk dipakai Hari Raya nanti. Selain itu, pelanggan juga mengambil kesempatan menjual emas lama untuk mendapatkan wang tunai kerana harga emas terpakai juga tinggi,” katanya.

Di Kuala Lumpur, peniaga kedai emas turut sibuk dengan kehadiran ramai pelanggan yang datang seawal pukul 9 pagi untuk menjual selain menukar emas baharu.

Seorang suri rumah, Roslinda Jasin, 32, berkata, dia menggadai sebahagian emas miliknya selepas mengetahui kenaikan harga barang kemas itu.

“Saya dapat tahu kenaikan harga emas daripada rakan yang turut mengumpul emas untuk pelaburan. Sebagai pengumpul emas, memang keuntungan buat kami untuk membuat gadaian terutama di kedai yang mempunyai kenaikan harga paling tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, orang ramai turut mengunjungi premis pajak gadai termasuk Ar-Rahnu untuk menebus semula barang kemas sebelum dijual pada harga semasa ketika ini.

Tinjauan mendapati, beberapa premis pajak gadai dipenuhi orang ramai seawal pagi susulan kenaikan harga emas ketika ini.

Pada Ahad lalu, harga emas dunia melepasi paras AS$5,000/auns (1 troy auns: 31.1035 gram), atau kira-kira RM651.50/gram buat pertama kali dalam sejarah pada Ahad, di tengah-tengah ketidakpastian global yang semakin meningkat dan pergolakan yang dicetuskan oleh dasar Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Emas mencecah paras AS$5,026/auns, setelah perak melonjak melepasi AS$102/auns buat kali pertama pada Jumaat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN