LONDON – Ketika para peminat Manchester United mula yakin mereka mampu memenangi saingan Liga Perdana Inggeris musim ini selepas kejayaan membenam Arsenal 3-2 di Emirates awal pagi semalam, pengurus interim, Michael Carrick memilih untuk lebih tenang.
Pada aksi tersebut, United bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat kemenangan dramatik kali kedua dalam tempoh lapan hari apabila sebelum ini mendominasi aksi derbi Manchester dengan menundukkan Manchester City.
Tiga gol menerusi jaringan Bryan Mbeumo, Patrick Dorgu dan Matheus Cunha merencatkan rancangan The Gunners memburu kejuaraan musim ini selepas hanya mampu meledak dua gol hasil jaringan sendiri Lisandro Martinez dan Mikel Merino.
Carrick mengakui bahawa perjalanan United masih panjang dan mereka perlu berdepan banyak lagi perlawanan besar selain memiliki jurang 12 mata berbanding pendahulu, Arsenal biarpun berjaya melonjak ke kedudukan keempat ketika ini.
“Saya tidak mahu terlalu beremosi, kami perlu berdepan banyak lagi perlawanan besar dan kami menganggap setiap perlawanan adalah penting.
“Apa yang menggembirakan adalah kami meraih banyak emosi, tenaga dan keyakinan hasil dua kemenangan ini (menentang City dan Arsenal). Kami perlu kekal merendah diri dan memahami bagaimana kami mampu mencatat kemenangan seperti ini,” katanya.
Bagaimanapun, wujud keresahan buat Carrick selepas perlawanan itu apabila menyaksikan pemain tonggaknya, Patrick Dorgu terpaksa dikeluarkan selepas dipercayai mengalami kecederaan hamstring.
“Pat pemain penting kami sejak beberapa perlawanan lalu. Dia berjaya membantu memberi variasi ketika kami menyerang dan memiliki kemampuan untuk membantu pertahanan. Saya berpuas hati dengan prestasinya, dia memberikan segala-gala dalam setiap perlawanan.
“Saya difahamkan dia tidak mengalami kecederaan serius, mungkin bukan hamstring, tetapi hanya kekejangan otot,” ujarnya. – AGENSI














