SEBERANG PERAI – Kesusahan seorang penuntut universiti swasta yang kematian ibu dan ayahnya tahun lalu sehingga dia sanggup ikat perut demi menamatkan pengajiannya, November ini akhirnya mendapat perhatian Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim, hari ini.
Steven merangkap Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) ke kediaman penuntut Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan di Universiti Cyberjaya, S. Selvestone, 25, di Sungai Jawi, di sini sekali gus menyumbangkan RM20,000 bagi pembiayaan baki pengajian termasuk kos lain yang ditanggung.
Menurut Steven, anak tunggal tersebut baru sahaja kehilangan dua insan tersayang selang beberapa bulan akibat masalah hati dan barah.
“Sebelum ini, hidup mereka bertiga memang sangat susah sejak kecil. Tapi sekurang-kurangnya dulu Selveston ada tempat menagih kasih dan manja. Kini hanya tinggal dia seorang bergelar anak yatim piatu.
“Bayangkan masa orang lain umur 25 tengah fikir nak mulakan hidup, dia pula tengah belajar macam mana nak bertahan bila semuanya runtuh serentak. Selveston jenis tak banyak cakap. Tapi bila dia cerita, saya boleh rasa, dia simpan banyak benda sorang-sorang.
“Dia sudah mula bekerja sebagai pengawal keselamatan sejak umur 15 tahun demi untuk bantu ayah ibu, belanja harian, dan paling penting dia menabung untuk pendidikan. Selveston tau ayah dan ibu orang susah, dia sendiri perlu berdikari supaya tidak membebankan mereka,” katanya menerusi Facebook miliknya hari ini.
Jelasnya, kecekalan pemuda tersebut terbukti apabila dia sanggup bersengkang mata demi menyara keluarganya dengan bekerja separuh masa sebagai penghantar p-hailing.
“Namun segalanya tergendala apabila kedua-dua mereka meninggal buat selamanya.
Bukan takat menanggung hati, malah bebanan kewangan menjadi semakin berat.
“Kini rumah keluarga kat Penang, tanggungan kehidupan kakak saudara berstatus orang kurang upaya (OKU), semuanya jatuh di bahu Selveston selain belanja sedia ada seperti yuran universiti, sewa rumah di Kuala Lumpur dan sebagainya.
“Habis saja kelas, berjam-jam diluangkan atas motor. Hujung minggu pun dia tetap keluar cari rezeki. Dia kata dekat saya, ada hari duit memang tak cukup. Kerap kali kena ikat perut,” ujarnya.
Beritahu Steven lagi, demi merealisasikan impian Selveston, beliau telah menyumbangkan RM20,000 bagi mengurangkan beban yang ditanggung anak muda tersebut.
“Jadi saya bantu yang paling asas dulu, supaya dia boleh stabil dan fokus sampai habis belajar. RM5,000 sumbangan awal untuk dia urus perkara yang paling mendesak, bagi dia tarik nafas.
“Baki yuran universiti, sewa rumah, segala belanja tanggungan saya akan selesaikan, supaya dia boleh tamatkan pengajian dengan tenang. Keseluruhan hampir RM20,000,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE













