SETELAH hampir 17 tahun berkongsi pandangan tentang isu semasa menerusi media sosial, bekas tokoh korporat dalam industri perbankan, Kamarudin Abu Bakar, 70, akhirnya tampil melancarkan buku pertamanya berjudul Putting Everything in Its Proper Place.
Naskhah tersebut mengupas secara mendalam pelbagai persoalan yang dekat dengan perjalanan hidup penulis, khususnya sepanjang hampir dua dekad penglibatannya dalam dunia korporat, teknologi kewangan dan sistem perbankan Islam di negara ini.
Menurut Kamarudin, buku berkenaan bukan sebuah agenda politik, manifesto keagamaan mahupun autobiografi semata-mata, sebaliknya merupakan gabungan naratif peribadi dengan renungan sosioekonomi dan etika.
“Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya menghimpunkan coretan dan tulisan yang selama ini saya kongsikan tentang isu masyarakat, ekonomi dan kehidupan moden ke dalam sebuah buku,” katanya ketika majlis pelancaran buku tersebut di Country Heights Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambah beliau, antara tema utama yang diketengahkan adalah persoalan ekonomi moden, politik, perbankan Islam dan konvensional, selain kesan sistem kewangan terhadap nilai kemanusiaan serta keadilan sosial.
Secara asasnya, Putting Everything in Its Proper Place merupakan sebuah karya reflektif yang merakam pengalaman hidup Kamarudin sejak era pasca kemerdekaan negara sehingga penglibatannya dalam dunia korporat dan industri perbankan.
Anak jati Kota Bharu, Kelantan itu turut mengupas perbahasan intelektual melibatkan falsafah, etika dan keimanan. Antara perbincangan kritikal dalam buku tersebut ialah isu riba dalam perbankan Islam, yang menurut Kamarudin sering dibahaskan secara terlalu ringkas serta bersifat binari.
Beliau berpandangan bahawa perbahasan awam lazimnya menyempitkan riba kepada isu faedah semata-mata, sedangkan struktur asas sistem perbankan moden termasuk penciptaan kredit dan wang jarang dipersoalkan.
“Dalam praktiknya, banyak perubahan dalam perbankan Islam bersifat kosmetik. Istilah berubah, tetapi mekanisme asas seperti model kredit, pengiraan nilai masa wang dan struktur risiko masih dalam rangka sistem yang sama,” jelasnya.
Menurut beliau, isu sebenar bukan sekadar kadar faedah, tetapi keupayaan sistem perbankan moden mencipta wang daripada kredit, satu struktur yang menurutnya menimbulkan ketidakadilan lebih mendalam.

Namun Kamarudin menegaskan, buku tersebut bukan bertujuan menyerang atau mempertahankan industri, sebaliknya mengajak pembaca memahami realiti sistem kewangan moden melalui konsep keadilan relatif.
Beliau merujuk kepada gagasan tokoh pemikir Islam terkemuka, Tan Sri Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas yang menekankan bahawa keadilan bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya sebenar.
“Apabila sistem itu sendiri tidak adil, kita tidak boleh berpura-pura mencapai keadilan mutlak.
“Namun keadilan relatif menuntut kita bersikap jujur tentang batas sistem, dan berusaha mengurangkan mudarat tanpa mengorbankan adab dan amanah.” katanya.
Dalam konteks itu, beliau menekankan bahawa institusi perbankan Islam seharusnya memikul tanggungjawab moral yang lebih tinggi, bukan saja dari sudut kontrak tetapi tingkah laku, ketelusan dan keprihatinan terhadap kesejahteraan masyarakat.
Menariknya, majlis pelancaran buku tersebut disempurnakan oleh adik-beradik Kamarudin sendiri iaitu Kapt. Mohd. Kamil yang merupakan bekas Pengarah Operasi Penerbangan Malaysia Airlines Berhad, dan Kamarul Zaman, bekas Pengurus Marin, Kuantan Port Consortium.
Acara itu turut disusuli sesi Forum Falsafah: Tertib, Makna & Keadaan Insan – Pengajaran daripada Putting Everything in Its Proper Place.
Forum itu dimoderator oleh Eddin Khoo, dengan barisan panelis seperti Tan Sri Mohamad Ariff Md. Yusof, Prof. Datuk Dr. Ahmad Murad Merican, Rosnah Ismail dan Dr. Muhammad Syafiq Borhanuddin.
Diterbitkan oleh Archiater Studio Sdn. Bhd., buku Putting Everything in Its Proper Place ditawarkan dalam dua versi iaitu edisi paperback berharga RM55 dan hardcover, RM100.
Buat masa ini, orang ramai boleh mendapatkan buku tersebut secara dalam talian menerusi laman web, www.archiaterstudio.com.














