PETALING JAYA – Bangga dengan pencapaian anak, pelawak Shuib tidak dapat menyembunyikan rasa bangga melihat perkembangan seni puterinya, Thalita.
Pada masa sama, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 41, mengimbau kembali cabaran awal yang dihadapi Thalita yang menerima kritikan mengenai vokal ketika awal menceburkan diri dalam bidang nyanyian.
“Di awal kemunculan Thalita, setahun lepas (awal 2025) ramai yang cakap dia tak boleh nyanyi, tiada bakat.
“Tapi Allah Maha Besar, Allah mudahkan perjalanan Thalita dalam masa setahun ini.
“Satu-satu perkara baik sampai dan satu-satu tahap dia naik. Semuanya atas doa dan usaha,” katanya dalam hantaran TikTok.
Tambahnya, kecekalan hati anak keduanya itu disifatkan mempunyai keazaman luar biasa kerana enggan mengaku kalah walaupun dihujani kecaman terhadap nyanyiannya.
“Thalita ini ada benda yang luar biasa tentang dia. Dia buat sesuatu bersungguh-sungguh, susah untuk ‘give up’ (putus asa).
“Lagi orang kata tak boleh, lagi dia akan buat sehabis baik,” ujarnya lagi.
Bapa kepada empat cahaya mata itu turut berjanji akan sentiasa menjadi tulang belakang utama yang akan terus menyokong Thalita mengejar impian dalam bidang seni.
“Insya-Allah ramai yang mendoakan Thalita, terus terbang anakku.
“Selagi daddy, mummy dan keluarga akan sentiasa ada untuk Thalita. ‘I love you’ (saya sayang awak),” luahnya.
Baru-baru ini, pemilik nama lengkap Dzahira Talita Zahra Shahmira, 13, berpeluang berduet lagu Seluruh Cinta bersama penyanyi Indonesia, Cakra Khan pada majlis pertunjukan fesyen Jakel Raya 2026.
Rata-rata memuji persembahan Thalita yang dianggap banyak perubahan selain perwatakannya yang matang di atas pentas. – KOSMO! ONLINE














