fbpx
PERNAH dikecam tanpa belas, dilabel kayu tidak beremosi ketika awal kerjaya, bahkan diulang tanpa jemu meski lima tahun berlalu, Sharifah Rose tidak tumbang. Dia sebaliknya matang berdepan skeptikal segelintir khalayak yang terus menjadikan kualiti lakonannya sebagai sasaran.

‘Sekarang sihir pun boleh online, takut sebenarnya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JIKA diselak semula kamus kerjaya seni pemilik nama penuh Sharifah Rose Sabrina Syed Mohd. Mazfira sejak lima tahun lalu, cerita negatif mungkin lebih banyak daripada yang positif.

Manakan tidak, dia pernah dihenyak dengan pelbagai kutukan terutama tentang lakonan yang sering kali dilabel sebagai pelakon kayu bahkan komen sebegitu masih dilemparkan sehingga hari ini.

Tidak cepat melenting dengan semua kecaman yang dilemparkan, pelakon berusia 28 tahun berkenaan mengakui semakin kebal dalam berdepan apa sahaja perkara negatif yang menerjah hidupnya.

Akuinya, sikap tidak ambil kisah adalah penting untuk ada dalam diri setiap pelakon terutama pendatang baharu agar tidak mudah menjejaskan emosi dan kesihatan mental sendiri.

SETIAP kali terheret pandangan sinis khalayak tentang penampilan atau kerja seninya, Sharifah Rose tidak berlama-lama menjeruk rasa sebaliknya melencongkan fikiran tentang matlamat asal memasuki bidang seni, demi populariti atau kecintaan hakiki.

Kecaman, positif

“Nasihat daripada pengalaman saya pernah dan masih kena kecam netizen, kita tak boleh nak tutup mulut orang sebab mereka sentiasa ada sesuatu yang nak diperkatakan tentang kita.

“Namun, saya terima komen yang boleh bantu untuk tambah baik kualiti kerja tetapi benda negatif seperti ‘body shaming’ dan sebagainya, anggap saja seperti gangguan kecil dalam hidup dan biarkan berlalu pergi,” katanya kepada HibGlam.

Mengakui pernah terkesan dengan kecaman masyarakat pada awal penglibatannya, Rose bagaimanapun sentiasa akan kembali semula tujuan utama pilihan menceburkan diri dalam bidang seni, sebelum membiarkan dirinya hanyut dalam emosi sedih.

“Kalau rasa murung, pulang semula ke matlamat asal bergelar anak seni. Jangan ambil hati atau terlalu sedih sebab kecaman netizen tak lama mana pun.

“Kadang-kadang dalam tempoh dua tiga hari orang sudah lupa terutama bila ada gosip baru muncul.

“Jadi, jangan terlalu lama nak bersedih sebab kita lebih kenal diri sendiri, paling penting adalah orang di sekeliling,” katanya lagi.

Mula dikenali seorang pempengaruh media sosial dan model fesyen muslimah suatu ketika, si cantik itu mengakui platform digital tersebut semakin hari semakin menyeramkan.

Jelasnya, media sosial juga boleh jadi platform yang menakutkan sebab orang ramai mudah untuk kongsi terlalu banyak dan zaman sekarang benda tidak betul juga mudah viral.

“Tidak semua orang yang tengok kita dalam dunia maya itu gembira untuk kita. Ada yang lihat dengan hasad dengki.

“Bila menjadi figura awam terutama pada zaman yang ada penyakit ain, orang boleh hantar macam-macam termasuk sihir secara online. Takut sebenarnya sekarang ini.

“Jadi, saya pun jadi lebih berhati-hati dan anggap media sosial sebagai ruang untuk kongsi tentang kerja sahaja,” tuturnya yang mula dikenali menerusi drama Kekasih Hati Mr. Bodyguard.

BERMULA dengan ‘kosong’ ilmu dan pengalaman, kini Sharifah Rose sudah mampu berkongsi pengetahuan dengan pendatang baharu yang lebih junior berbanding dirinya.

Persaingan, syukur

Melihat kehadiran ramai pendatang baharu ketika ini, anak sulung daripada dua beradik itu mengakui tidak pernah berasa tersaingi dengan mana-mana pelakon lain bahkan percaya dengan konsep rezeki.

“Tak pernah rasa nak bersaing sebab setiap kali masuk set penggambaran, saya sentiasa letak diri sebagai pelakon baru dan berusaha belajar sebanyak mungkin daripada aktor atau aktres senior.

“Dengan pelakon baharu lain pun saya akan kongsi ilmu yang ada walau sikit. Saya juga pernah berada di posisi mereka, masuk set penggambaran dengan zero knowledge.

“Setiap pelakon yang muncul ada kelebihan masing-masing, yakin pada rezeki, tidak perlu nak bermusuh atau cemburu dengan rezeki orang lain. Kalau nak bersaing, lakukan secara sihat,” jelasnya.

Sedar kerja lakonannya masih menerima kritikan negatif, Rose tidak pernah berhenti daripada menambah baik hasil persembahannya.

“Saya jenis akan tonton drama lakonan sendiri setiap kali ditayangkan, dari situ boleh tahu mana yang perlu diperbaiki.

“Kalau ada teguran, perlu tengok balik sama ada membantu atau sekadar nak rendah-rendahkan diri kita.

“Alhamdulillah, syukur kerjaya seni berjalan dengan baik setakat ini dan tak sangka boleh masuk dalam industri serta sampai ke tahap sekarang,” ujarnya.

ROSE kini hangat dengan watak Anissa menerusi naskhah Doa Yang Terlindung siaran TV3.

Hak wanita

Sempat berkongsi tentang drama terbaru yang rancak ditayangkan menerusi slot Akasia TV3 iaitu Doa Yang Terlindung, dia mengakui naskhah tersebut memberi impak besar terhadap dirinya.

“Watak Anissa yang saya pegang dalam drama ini perjuangkan hak seorang wanita walaupun perlu tempuh banyak dugaan. Karakter yang sangat kuat.

“Selain itu, isu penunggang agama yang dipaparkan sebenarnya banyak berlaku dalam masyarakat dan sangat menakutkan.

“Banyak yang saya belajar dari drama ini terutama tentang kesabaran dan berani pertahankan hak sendiri,” kongsinya.

Bergandingan dengan Fasha Sanda, Nafiz Muaz dan Firdaus Karim juga satu pengalaman hebat yang diperoleh daripada drama arahan Idora Abdul Rahman tersebut.

“Ini kali pertama saya bergandingan dengan tiga pelakon hebat itu, memang seronok setiap kali masuk set, mereka kongsi macam-macam ilmu.

“Drama ini sangat berat dan ini juga pertama kali saya membawa watak seorang ibu tunggal, agak mencabar sebab tak pernah melaluinya tapi semuanya berjalan dengan baik,” tuturnya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI