fbpx
Skuad Pahang meraikan kemenangan selepas menewakan pasukan Perak dalam Kejohanan Hoki Lima Sebelah (5s) Bawah 21 Kebangsaan 2026 lelaki di Stadium Hoki Bukit Jalil di sini hari ini. GAMBAR: FARIZ RUSADIO

Pahang juara sulung hoki 5s B-21

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pahang mencipta sejarah apabila muncul juara sulung Kejohanan Hoki 5s Kebangsaan Bawah 21 Tahun 2026 selepas menundukkan Perak 2-1 dalam perlawanan akhir yang berlangsung sengit, sebentar tadi.

Kejayaan itu lebih bermakna buat skuad itu selepas kedua-dua pasukan sebelum ini terikat lapan mata dalam saingan Kumpulan B dan pernah seri di peringkat kumpulan, sebelum Pahang sekali lagi membuktikan keunggulan di pentas final.

Perlawanan akhir berlangsung dalam tempo tinggi dengan Pahang bermula agresif apabila meledak dua gol awal pada minit ketiga dan ketujuh suku pertama untuk memberi tekanan kepada Perak.

Bagaimanapun, Perak tidak mudah mengalah apabila bangkit merapatkan kedudukan, namun kekentalan pertahanan serta aksi cemerlang penjaga gol Pahang memastikan kelebihan itu kekal sehingga wisel penamat.

Ketua jurulatih Pahang, Mohd Sufian Mohamad menyifatkan kejayaan itu sebagai permulaan positif buat pasukannya bagi musim 2026 menjelang komitmen lebih besar selepas ini.

“Syukur kepada Allah, ini satu permulaan yang baik untuk 2026 menjelang SUKMA nanti. Pemain-pemain yang diturunkan ini juga rata-rata akan mewakili pasukan Pahang,” katanya selepas perlawanan.

Sufian turut memuji komitmen tinggi pemain sepanjang perlawanan, selain memberikan kredit kepada penjaga gol yang banyak menyelamatkan percubaan lawan.

“Sepanjang perlawanan, saya sangat puji komitmen pemain yang bekerja keras. Kredit juga kepada penjaga gol yang melakukan banyak penyelamatan dan pemain berjaya mengikut arahan yang diberikan,” katanya.

Mengulas dua gol awal pasukannya, Sufian menjelaskan ia sebahagian daripada perancangan taktikal bagi meletakkan tekanan sejak awal permainan.

“Dari awal, kita memang merancang untuk mengambil peluang awal bagi meletakkan tekanan kepada pihak lawan,” jelasnya.

Bagaimanapun, jurulatih itu sentiasa mengingatkan pemain supaya tidak leka meskipun mendahului kerana tempoh permainan yang singkat dalam hoki 5s mampu mengubah keputusan dalam sekelip mata.

Sufian mengakui dua jaringan awal belum menjamin kemenangan, sebaliknya disiplin dan ketenangan menjadi kunci memastikan Pahang menjulang kejuaraan sulung kejohanan tersebut. KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN