KUANTAN – Diumpan dengan pulangan keuntungan awal sebanyak RM12,475 menyebabkan seorang peniaga mengalami kerugian sebanyak RM277,688 selepas terperdaya dengan skim pelaburan tidak wujud.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian bermula 8 Januari lalu selepas mangsa yang merupakan lelaki berumur 52 tahun berkenalan melalui aplikasi WhatsApp dengan seorang wanita yang menawarkan pelaburan menjanjikan pulangan keuntungan yang tinggi.
“Siasatan awal mendapati, mangsa telah membuat pelaburan awal berjumlah RM1,000 dan RM70,000 serta menerima pulangan keuntungan sebanyak RM175 dan RM12,300.
“Keuntungan yang diterima tersebut telah dilaburkan semula oleh mangsa sebelum mangsa diyakinkan untuk meneruskan pelaburan dengan jumlah yang lebih besar,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya, sepanjang tempoh antara 8 Januari hingga 12 Januari lalu, mangsa telah membuat beberapa transaksi pemindahan wang ke tiga akaun bank berbeza, melibatkan jumlah keseluruhan kerugian sebanyak RM277,688.23.
Katanya bagaimanapun, mangsa gagal menerima sebarang keuntungan seperti yang dijanjikan dan diberikan pelbagai alasan oleh pihak terlibat sebelum menyedari telah ditipu.
Beliau memberitahu berdasarkan siasatan awal mendapati sumber kewangan mangsa adalah melibatkan wang simpanan sendiri, hasil perniagaan serta pinjaman daripada isteri dan kenalan.-KOSMO! ONLINE














