PUCHONG – BMS Holdings Berhad (BMS Holdings) terus memacu momentum pertumbuhannya dengan perasmian bilik pameran terbaharu di Bandar Kinrara, di sini selepas mencipta nama di di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Pengarah Urusan BMS Holdings, Ang Kwee Peng berkata, perasmian bilik pameran itu merupakan sebahagian daripada pelan pengembangan nasional BMS Holdings untuk memperluaskan jejak runcitnya dalam sektor jubin, permukaan batu, serta kelengkapan bilik mandi dan dapur.
Beliau berkata, bilik pameran runcit itu berkeluasan 6,481.26 kaki persegi dan berada pada kedudukan strategik untuk memenuhi keperluan kawasan kediaman dan komersial berkepadatan tinggi merangkumi Puchong, Sunway, dan Bukit Jalil.
“Ia adalah lokasi yang strategik bagi kami, kawasan yang sibuk dengan banyak rumah dan perniagaan yang matang dan pembangunan baharu. Pemilik rumah di sini mementingkan kerja pengubahsuaian yang berkualiti, estetik, dan ramai pereka serta kontraktor aktif di kawasan ini.
“Bilik pameran ini telah direka dengan satu objektif dalam fikiran kami iaitu untuk menjadikan proses pemilihan lebih mudah, jelas, dan memberi inspirasi,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Cawangan ke-21 Jubin BMS Puchong Kinrara di sini hari ini.
Kwee Peng berkata, pihaknya turut bakal membuka sebuah lagi bilik pameran baharu di Shah Alam tidak lama lagi.
“Kami juga dalam perancangan untuk membangunkan bilik pameran utama (flagship showroom) di Seremban 2.
“Setiap cawangan dirancang dengan teliti, bukan sahaja untuk keterlihatan (visibility), tetapi untuk memastikan permintaan jangka panjang, operasi yang lancar dan pertumbuhan yang mampan,” katanya.
Beliau berkata, rancangan pengembangan runcit di Lembah Klang membawa anggaran jumlah kos sebanyak RM36.5 juta, di mana RM9.7 juta dijangka dibiayai daripada hasil Tawaran Awam Permulaan (IPO), manakala bakinya akan dibiayai melalui dana janaun dalaman atau pinjaman bank.
“Selain itu, bilik pameran runcit Seremban dianggarkan menelan kos RM10.5 juta, disokong oleh RM3.3 juta daripada hasil IPO dan bakinya daripada dana janaun dalaman atau pinjaman bank.
“Melangkah ke hadapan, BMS Holdings akan terus mengguna pakai pendekatan yang berdisiplin dan berasaskan data untuk pengembangan runcit, dengan memberi keutamaan kepada lokasi strategik yang mempunyai asas permintaan yang kukuh dan kelestarian jangka panjang,” katanya.
Katanya, BMS Holdings kekal fokus untuk mengoptimumkan produktiviti bilik pameran, memperkukuh kebolehlihatan jenama, dan meningkatkan penglibatan pelanggan merentasi titik sentuhan fizikal dan digital. – KOSMO! ONLINE














