BRUSSELS – Belgium mengharamkan pesawat yang membawa senjata dan peralatan ketenteraan ke Israel daripada menggunakan ruang udara negara itu atau membuat perhentian teknikal, lapor laman berita Middle East Monitor.
Larangan itu mula berkuat kuasa kelmarin, demikian menurut beberapa sumber dari Kementerian Hal Ehwal Luar Belgium.
Keputusan yang dibuat oleh Menteri Luar, Maxime Prevot itu memerlukan pihak berkaitan untuk melaporkan kepada pegawai Belgium mengenai butiran pengangkutan penerbangan yang membawa peralatan ketenteraan ke Israel, lapor akhbar Le Soir.
Keputusan itu turut mengatasi isu-isu perundangan yang sebelum ini membenarkan penghantaran ‘transit tanpa henti’ di mana kargo tidak dipunggah semasa perhentian untuk tujuan teknikal.
Pemeriksaan akan dilakukan oleh pihak berkuasa kastam dan Perkhidmatan Awam Persekutuan Mobiliti dan Pengangkutan (SPF Transport).
“Belgium mempunyai hak untuk melakukan apa yang perlu demi mengelak daripada menyumbang kepada situasi ini.
“Belgium akan memastikan bahawa ia menghormati kewajipan di bawah undang-undang antarabangsa dan menghantar isyarat yang jelas di peringkat Eropah dan antarabangsa,” kata Prevot. – AGENSI














