KUALA LUMPUR – Volvo Car Malaysia (VCM) melancarkan model baharu sedan elektrik sepenuhnya, Volvo ES90 semalam pada harga bermula RM339,888.
ES90 yang dipasang secara tempatan (CKD) di Shah Alam, bukan sekadar model baharu malah dikemaskini sebagai mobiliti premium dengan rekaan Scandinavian serta ciri keselamatan terbaharu.
Pengarah Urusan VCM Malaysia dan Thailand, Chris Wailes berkata, ES90 adalah pilihan ideal kepada pengguna yang mencari keseimbang dan eksklusiti dalam sebuah sedan premium.
“Ini adalah kereta untuk pemandu yang mencari keseimbangan gabungan elemen eksklusif sedan premium dengan kemampanan dan prestasi teknologi elektrik terkini Volvo,” katanya pada Majlis Pelancaran Volvo ES90 di sini.
Volvo ES90 menggunakan platform SPA2 dengan 800 volt dan menyokong pengecasan pantas DC sehingga 350kW yang mampu menegcas dari 10 ke 80 peratus dalam masa kira-kira 22 minit.
Jarak gerak sedan elektrik ini mampu mencapai 651 kilometer (km) mengikut WLTP dan menghasilkan kuasa 332hp dan tork maksimum 480Nm dengan pecutan dari pegun ke 100km/j dalam masa 6.6 saat. – KOSMO! ONLINE














