PETALING JAYA – Seorang lelaki meluahkan rasa kecewa selepas sebuah kereta menukar lorong secara melulu sehingga mencetuskan kemalangan selain dipercayai melarikan diri.
Menurut hantaran di Facebook, kereta jenis Perodua Axia berkenaan tidak memberikan lampu signal menyebabkan pemilik kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 terlanggarnya.
“Mohon bantuan cari pemilik kereta J** 8***. Katanya pemandu bukan pemilik kereta dan kereta tak ada ‘roadtax’ (cukai jalan).
“Selepas 15 minit, pergi macam itu sahaja. Tak dapat nak tangkap gambar kad pengenalan. Saya nak saman sivil pemilik kereta ini,” katanya.
Rakaman kamera papan pemuka (dashcam) berdurasi 27 saat itu memaparkan tindakan pemandu kereta tersebut menukar lorong untuk memotong kenderaan di lorong kiri.
Perkongsian tersebut meraih pelbagai reaksi netizen dengan rata-rata pengguna di media sosial menyokong tindakannya untuk saman pemilik dan pemandu kenderaan.
“Tiba-tiba masuk lorong sebelah, mana sempat nak bagi laluan. Semoga dipermudahkan urusan baiki kereta,” komen @RajaShamsul.
“Saya pun kena macam ini. Telefon dia tapi menangis-nangis kata nak selesaikan tanpa laporan polis. Akhirnya tak bayar dan saya saman sivil sahaja,” komen @ZakwanZack.
“Buat sahaja laporan polis dan pergi Jabatan Pengangkutan Jalan untuk periksa insuran nombor plat kereta itu untuk dapatkan ‘claim’,” komen @MohdAshraf. –KOSMO! ONLINE














