PETALING JAYA – Denza Malaysia, jenama kenderaan elektrik (EV) pintar mewah di bawah BYD, menyambut ulang tahun pertamanya di pasaran Malaysia pada Februari ini dengan mengesahkan model Denza D9 akan mengekalkan harga semasa walaupun pengecualian cukai EV telah tamat pada 2026.
Denza D9, kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah No. 1 dan paling popular di Malaysia tahun lalu akan terus ditawarkan pada harga RM259,000 bagi varian pacuan roda depan (FWD) dan RM309,000 bagi varian pacuan semua roda (AWD).
Rekod lebih 1,200 unit yang terjual dalam tempoh kurang setahun sejak pelancarannya pada Februari 2025 mencerminkan kepercayaan pelanggan terhadap kualiti, keselesaan dan prestasi jenama tersebut.
Pengarah Urusan Denza Malaysia, Eagle Zhao berkata, ketika Malaysia melangkah ke fasa seterusnya dalam penggunaan EV, pihaknya ingin memastikan pelanggan terus yakin dan merasa dihargai dalam sepanjang perjalanan pengalaman pemilikan mereka.
“Tahun pertama telah meletakkan asas kepercayaan, dan tahun-tahun berikutnya akan menumpukan pada pengalaman yang lebih bermakna dan mencerminkan gaya hidup premium Denza,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sempena ulang tahun pertamanya, Denza Malaysia memberi ganjaran kepada pelanggan dengan keistimewaan pemilikan bernilai sehingga RM10,000 bagi varian FWD dan RM15,000 bagi varian AWD.
Ia merangkumi pengecas wallbox 22kW berkuasa tinggi percuma bersama pemasangan profesional bernilai sehingga RM6,000, pakej servis percuma yang komprehensif selama enam tahun atau 120,000km, bernilai sehingga RM5,000, serta jaminan kenderaan selama enam tahun.
Pelanggan turut berpeluang menikmati pengalaman gaya hidup eksklusif termasuk acara jemputan seperti Denza Golf Cup, pengalaman kulinari premium serta keistimewaan perjalanan khas yang akan diperkenalkan secara berperingkat. – KOSMO! ONLINE














