PUTRAJAYA – Permohonan kemasukan pelajar Sesi Akademik 2026/2027 bagi program sijil, asasi, diploma dan ijazah sarjana muda bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Fasa Pertama Lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) serta setaraf akan dibuka pada 29 Januari hingga 23 Mac depan.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan berkata, seterusnya pada 13 April hingga 15 Mei depan pula permohonan dibuka bagi permohonan Fasa Kedua Lepasan STPM dan setaraf.
“Permohonan terbuka kepada pelajar Lepasan SPM dan STPM/ setaraf bagi semua program pengajian pada Fasa Permohonan Lepasan SPM dan Fasa Pertama Lepasan STPM/ setaraf.
“Manakala hanya program pengajian yang tidak bertemu duga atau ujian sahaja dibuka pada permohonan Fasa Kedua Lepasan STPM/ setaraf,” katanya hari ini.
Pembelian No. Pin UPUOnline® boleh dibuat melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai 28 Januari sebelum mengemukakan permohonan dengan harga RM 10.60 (termasuk cas perkhidmatan).
Kaedah bayaran No. Pin UPUOnline® di BSN adalah melalui 387 Kaunter Cawangan BSN selain 843 Automatic Teller Machine (ATM) BSN dan Perbankan Internet myBSN.
KPT berkata, BSN akan mengeluarkan No. Pin UPUOnline® beserta salinan resit pembayaran.
“Sila pastikan slip pembayaran sebagai bukti sah pembelian disimpan untuk rujukan,” katanya.
Permohonan bagi melanjutkan pengajian ke peringkat pendidika tinggi itu boleh dibuat di di 20 universiti awam, 36 politeknik, 106 kolej komuniti dan dua institusi dari Mara Bahagian Pendidikan Tinggi.
Menurut KPT, sebanyak 363 program pengajian ditawarkan kepada Lepasan SPM dan 1,146 program pengajian ditawarkan kepada Lepasan STPM/ setaraf di seluruh negara. – KOSMO! ONLINE














