fbpx
Poster yang dimuat naik oleh PHM

Gajet bukan pengasuh anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Tindakan ibu bapa menyerahkan telefon pintar atau gajet kepada anak kecil semata-mata untuk memastikan mereka duduk diam boleh mengundang kesan buruk terhadap perkembangan otak dan pertuturan kanak-kanak.

Menurut satu hantaran yang dikongsikan oleh Public Health Malaysia (PHM) di laman Facebook, penggunaan skrin secara berlebihan terutama dalam kalangan bayi dan kanak-kanak bawah dua tahun boleh menyebabkan keadaan yang dikenali sebagai ‘virtual autism’.

Keadaan itu menyebabkan kanak-kanak menunjukkan ciri-ciri seakan autisme seperti tidak menyahut apabila dipanggil, kurang hubungan mata (eye contact) dan lambat bercakap, namun puncanya bukan faktor genetik sebaliknya adalah daripada pendedahan skrin yang melampau.

“Memang tenang bila anak duduk diam tengok YouTube. Tak melompat, tak menjerit, ibu bapa boleh makan dan melayari media sosial dengan aman. Tetapi ada harga mahal yang perlu dibayar,” ujarnya.

PHM menjelaskan, otak bayi belajar bercakap melalui komunikasi dua hala, iaitu interaksi secara langsung antara ibu bapa dan anak walaupun hanya melalui bunyi ringkas.

Namun, penggunaan gajet dan televisyen hanya melibatkan komunikasi sehala apabila kanak-kanak sekadar menerima input tanpa perlu bertindak balas.

“Apabila ini berlaku secara berterusan, pusat bahasa dalam otak anak tidak dirangsang dengan baik dan menjadi ‘tumpul’,” jelasnya.

Tambahnya, garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menetapkan larangan tegas terhadap penggunaan skrin bagi bayi berumur 0 hingga 18 bulan kecuali untuk panggilan video bersama ahli keluarga.

Bagi kanak-kanak berumur 18 bulan hingga dua tahun pula, penggunaan skrin perlu diminimumkan dan mesti ditemani ibu bapa, manakala kanak-kanak berusia dua hingga lima tahun disarankan tidak melebihi satu jam sehari.

PHM turut mengingatkan ibu bapa agar tidak mematikan fitrah kanak-kanak yang aktif dan bising kerana itu merupakan tanda perkembangan otak yang sihat.

“Biarlah anak berlari, melompat dan sepahkan rumah. Jangan menyesal kemudian hari apabila anak sudah berusia empat tahun tetapi masih belum mampu memanggil ‘mak’,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI