PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi perhatian serius terhadap isu kelemahan tatakelola dalam pengurusan sisa elektronik (e-waste) berikutan pelaksanaan Op Nature yang dijalankan serentak di Klang, Selangor dan Nilai, Negeri Sembilan semalam.
Selain siasatan berkaitan kesalahan jenayah rasuah, SPRM turut menumpukan kepada aspek tatakelola bagi mengenal pasti punca dan kelemahan yang menyumbang kepada isu pengurusan e-waste.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman berkata, kelemahan tatakelola yang tidak ditangani dengan baik akan membuka ruang kepada perlakuan jenayah rasuah serta pengimportan haram e-waste untuk terus berulang.
“SPRM telah membuka kertas penyiasatan tatakelola bagi meneliti punca dan mencari kaedah terbaik untuk mengelakkan isu ini berlarutan.
“Ia bukan sahaja menjejaskan alam sekitar, malah turut merugikan hasil pendapatan negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Antara isu awal yang dikenal pasti adalah berkaitan aspek pemantauan dan tindakan susulan terhadap pengurusan e-waste.
Bagaimanapun, ia hanya dapat disahkan selepas penyiasatan tatakelola yang lengkap diselesaikan.
Katanya, SPRM tidak menolak kemungkinan isu sama berlaku di negeri-negeri lain yang mana penyiasatan tatakelola akan diperluaskan ke seluruh negara sekiranya terdapat keperluan.
“SPRM akan bekerjasama rapat dengan agensi berkepentingan termasuk Jabatan Alam Sekitar serta Pasukan Petugas Khas E-Waste yang dipengerusikan oleh Tan Sri Azam Baki.
“SPRM berharap setiap agensi yang terlibat dapat memainkan peranan dengan lebih tegas berdasarkan bidang kuasa masing-masing,” katanya. – KOSMO! ONLINE














