KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen (JIM) menumpaskan sindiket perjudian dalam talian dengan penahanan 19 individu warga asing dalam operasi khas di Jalan Alor, Jalan Changkat dan Jalan Bedara, Bukit Bintang di sini semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi bermula serentak pukul 10.30 malam itu melibatkan 25 pegawai Pasukan Taktikal Khas (Pastak) Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya hasil risikan selama saebulan.
“Hasil pemeriksaan, seramai 19 individu terdiri daripada 12 lelaki warga Bangladesh, empat lelaki Myanmar dan tiga lelaki Indonesia berusia 21 hingga 50 tahun ditahan.
“Kesemua yang ditahan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan tinggal lebih masa di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, selain itu, dua lelaki dan seorang wanita tempatan diberikan notis untuk hadir ke pejabat imigresen bagi membantu siasatan.
Selain tangkapan, pihak JIM turut merampas peralatan yang dipercayai digunakan sindiket iaitu 59 komputer tablet, tiga buah monitor, tiga unit dekoder televisyen litar tertutup (CCTV).
“Sindiket ini menyasarkan warga asing sebagai pelanggan utama mereka dengan pelaburan serendah RM50 hingga RM500 bagi setiap seorang dan menjanjikan pulangan keuntungan tinggi dalam tempoh singkat.
“Premis-premis ini beroperasi setiap hari dan semakin aktif pada waktu malam hingga lewat pagi,” ujarnya.
Zakaria berkata, sindiket itu mengamalkan kawalan keselamatan yang ketat dengan melantik penjaga warga asing dikenali ‘kapten’ selain membuat pengecaman wajah sebagai tapisan sebelum pelanggan dibenarkan masuk.
“Kesemua premis judi ini berselindung di sebalik rumah sewa dan premis perniagaan kecil bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














