PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenan pelantikan beberapa pegawai kanan bagi mengisi empat jawatan utama dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Kementerian Pertahanan dalam kenyataannya berkata, perkenan itu diberikan pada Ahad lalu selepas baginda menimbang syor Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera Siri Ke-632 yang bersidang pada 7 Januari lalu.
Pelantikan itu melibatkan jawatan Ketua Staf Markas ATM, Panglima Angkatan Bersama, Timbalan Panglima Tentera Darat dan Ketua Eksekutif Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MiDAS).
“Leftenan Jeneral Datuk Seri Muhammad Huzaimi Sabri dilantik sebagai Ketua Staf Markas ATM, manakala Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim pula menjawat jawatan Panglima Angkatan Bersama.
“Sementara itu, Mejar Jeneral Datuk Mohamad Suria Mohamad Saad dinaikkan ke pangkat Leftenan Jeneral dan dilantik Timbalan Panglima Tentera Darat, manakala Leftenan Jeneral Datuk Zahani Zainal Abidin pula dilantik sebagai Ketua Eksekutif MiDAS,” katanya hari ini.
Pelantikan kesemua jawatan tersebut berkuat kuasa pada 1 Januari 2026.
Katanya, integriti, akauntabiliti dan tadbir urus yang bersih merupakan teras utama kepimpinan ATM serta ekosistem pertahanan negara.
“Dalam konteks ini, kepimpinan utama ATM bukan sahaja bertanggungjawab memastikan kesiapsiagaan dan keberkesanan operasi, malah memikul amanah untuk memperkukuh keyakinan rakyat terhadap institusi pertahanan negara tanpa kompromi,” katanya.
Ujarnya, barisan kepimpinan baharu berkenaan diyakini mampu memikul amanah besar serta berkeupayaan memberikan khidmat dengan penuh wibawa, integriti dan profesionalisme demi keselamatan serta kedaulatan negara. – KOSMO! ONLINE














