SAN DIEGO, CALIFORNIA – Seorang kakitangan perpustakaan di negeri California terkejut menerima bungkusan mengandungi sebuah buku yang sepatutnya dikembalikan hampir 46 tahun lalu, lapor agensi berita United Press International semalam.
Pengurus cawangan Perpustakaan Daerah San Diego di La Mesa, Cassie Koldewyn berkata, dia membuka bungkusan itu pada awal bulan ini dan melihat buku bertajuk The Incredible Journey karya penulis, Sheila Burnford.
“Saya membukanya dan ‘menikmati’ bau buku lama yang agak kuat dalam bungkusan ini,” kata Koldewyn.
“Mereka menghantarnya kembali ke cawangan yang betul walaupun kami berada di alamat baharu. Mereka jelas melakukan kajian untuk mengembalikannya kepada kami,” tambahnya.
Bungkusan itu dihantar tanpa nama, serta disertakan nota tidak ditandatangani yang bertulis ‘Maaf ia sangat lewat’, di samping emoji senyuman dilukis dengan tangan.
Rekod perpustakaan mendedahkan buku itu sepatutnya dikembalikan pada 20 Mei 1980. – AGENSI














