fbpx
Healing Nite 2026 bakal berlangsung pada 24 Januari ini di Stadium Merdeka yang menampil barisan penghibur 'papan atas' termasuk Anuar Zain, Ella dan Dayang Nurfaizah.

Anuar Zain ajak ‘reset’ emosi di Stadium Merdeka 24 Januari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Penganjuran Healing Nite 2026 yang bakal berlangsung pada 24 Januari ini di Stadium Merdeka dilihat sebagai platform terbaik untuk peminat melakukan ‘reset’ emosi dan melepaskan tekanan selepas melalui rutin harian yang mencabar.

Menggabungkan barisan artis ternama tanah air seperti Anuar Zain, Ella dan Dayang Nurfaizah, selain penyanyi Indonesia iaitu Lyodra dan Kangen Band, konsert ini menjanjikan pengalaman terapeutik yang menyentuh emosi serta membangkitkan semangat positif.

Menurut Anuar Zain, yang sinonim dengan konsep penyembuhan jiwa menerusi lagu-lagu berunsur emosi dan mendalam, Healing Nite 2026 mampu menjadi titik permulaan baharu kepada peminat.

“Saya melihat konsep reset emosi dan minda sebagai fresh start effect, iaitu memulakan sesuatu dengan lebih segar selepas melepaskan beban lama.

“Hiburan juga boleh menjadi terapi terbaik kerana muzik mampu meningkatkan emosi positif serta mengurangkan tekanan,” katanya.

Sementara itu, Ratu Rock Negara, Ella, percaya muzik mampu menjadi medium terbaik untuk meluahkan emosi dan melepaskan stres.

“Ramai yang mungkin memendam perasaan sepanjang tahun lalu, sama ada kerana tekanan kerja atau hilang keyakinan diri. Jadi, Healing Nite 2026 adalah peluang untuk kita lepaskan semua perkara negatif dan mulakan tahun baharu dengan energi baharu,” ujarnya.

Ella turut mengajak peminat untuk hadir memeriahkan acara itu bersama rakan artis lain seperti Anuar Zain, Dayang Nurfaizah, Lyodra dan Kangen Band.

Berkongsi pandangan sama, Dayang Nurfaizah menyifatkan konsert ini sebagai hiburan sihat yang bukan sahaja menyeronokkan, malah memberi manfaat kepada kesejahteraan emosi dan fizikal.

“Mendengar muzik bukan sekadar hiburan, malah boleh dianggap sebagai aktiviti sihat seperti melakukan senaman ringan apabila kita menyanyi dan bergerak.

“Awal tahun adalah masa terbaik untuk kita menarik perkara-perkara positif dalam hidup,” katanya.

Healing Nite 2026 dianjurkan oleh Kembar Nusantara Sdn. Bhd. dengan sokongan produksi oleh Creative Page Sdn. Bhd. manakala Yumeca Sdn. Bhd. mengendalikan strategi, pemasaran, penajaan serta penglibatan pengguna.

Selain konsert, pengunjung turut disajikan dengan pengalaman gaya hidup menerusi kewujudan Healing Tent bermula jam 1 petang, yang menampilkan pelbagai kolaborasi makanan dan minuman termasuk kopi, pastri, sajian tempatan serta snek kontemporari.

Orang ramai dijemput hadir menyertai pengalaman unik ini pada 24 Januari 2026, bermula jam 8.45 malam di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Tiket boleh didapati menerusi platform Ticket2u.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI