LONDON – Bekas pengendali Real Madrid, Xabi Alonso dilapor tidak bersedia menerima tawaran daripada Tottenham Hotspur sekiranya kelab itu membuat keputusan memecat pengurus semasa, Thomas Frank.
Masa depan Frank bersama Spurs semakin kabur selepas prestasi goyah yang dipamer sejak awal musim termasuk ketika tewas 1-2 menentang West Ham United di laman sendiri kelmarin.
Setakat ini, Spurs hanya mampu mencatat satu kemenangan dalam tujuh perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris, malah mereka juga tersingkir daripada saingan Piala FA selepas tunduk 1-2 kepada Aston Villa.
Laporan menyebut, perkembangan semasa prestasi kelab itu menyebabkan pihak pengurusan sedang membuat pertimbangan serius mengenai masa depan Frank dalam tempoh terdekat dengan menjadikan Alonso sebagai calon pilihan baharu.
Minat yang ditunjukkan Spurs disedari oleh Alonso, namun bekas jurulatih Bayer Leverkusen itu berpendapat bahawa beliau mungkin akan mendapat peluang yang lebih baik dalam tempoh beberapa bulan akan datang berbanding menerima tawaran kelab dari utara London itu.
Alonso yang juga bekas pemain Liverpool disebut akan kembali ke Anfield sebagai pengurus sekiranya kelab itu membuat keputusan berpisah dengan Arne Slot.
Sementara itu, bekas pemain Spurs, Jamie O’Hara menggesa pihak pengurusan membuat keputusan segera dengan memecat Frank ketika kelab itu kini menghuni kedudukan ke-14 liga dan bersetuju dengan pilihan untuk mendapatkan Alonso atau pun satu lagi calon, Robbie Keane. – AGENSI














