fbpx
Pengunjung berpeluang berinteraksi dan bermain dengan robot di AI World Experience Centre yang merupakan pusat pengalaman AI pertama negara.

Terokai dunia robot di pusat pengalaman AI pertama Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEHADIRAN penulis ke pusat pengalaman kecerdasan buatan (AI) pertama Malaysia disambut oleh robot humanoid yang berdiri di hadapan pintu masuk.

Robot ini bukan sahaja mampu bercakap, bergerak dan memberi respons kepada soalan pengunjung, malah juga boleh menari apabila disuruh.

Interaksi itu menandakan permulaan lawatan di AI World Experience Centre, i-City Shah Alam, Selangor yang baru dibuka kepada umum.

Selain berinteraksi, penulis berpeluang untuk bermain pelbagai jenis permainan bersama dengan robot humanoid yang ada dalam pusat tersebut.

Terdapat juga ruangan yang memberi peluang kepada pengunjung untuk menonton persembahan tarian robot, melihatnya bergusti dan juga bermain bola sepak.

Pusat ini turut mempamerkan konsep bandar masa depan, termasuk penggunaan AI dalam pengurusan trafik, keselamatan, bangunan dan kelestarian.

Dengan pendekatan visual yang mudah difahami, inisiatif yang dibangunkan oleh I-Berhad di i-City ini sesuai sebagai ruang pembelajaran teknologi untuk pelajar, keluarga dan masyarakat umum.

Pengasas dan Pengerusi I-Berhad, Tan Sri Lim Kim Hong berkata, pembukaan ini menandakan pencapaian ketara pertama dalam pembangunan AI World Experience Centre yang merupakan komponen teras daripada baki nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM5 bilion milik syarikat di i-City.

“Pusat ini mewakili realisasi pertama AI World Experience Centre dan menunjukkan bagaimana AI serta robotik boleh diintegrasikan secara bermakna dalam persekitaran bandar bagi meningkatkan fungsi, kecekapan dan pengalaman gaya hidup.

“Disokong oleh baki GDV yang kukuh serta asas pelaburan hartanah yang semakin berkembang, kami percaya AI World akan meningkatkan nilai aset, mengukuhkan pendapatan berulang dan meletakkan I-Berhad di barisan hadapan pembangunan bandar pintar di Malaysia,” katanya.

Pusat pengalaman ini merupakan pameran berskala besar dan imersif bagi AI dan robotik humanoid, dibangunkan dengan kerjasama Agibot, salah satu syarikat robotik humanoid terkemuka dunia dan menampilkan 100 robot.

Cadangan masa lawatan ke AI World Experience Centre adalah antara satu hingga dua jam bagi membolehkan pengunjung meneroka semua pameran dengan selesa.

AI World Experience Centre di i-City Shah Alam dibuka setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 10 malam dengan bayaran tiket yang boleh disemak di laman web rasmi. Lawatan pada hari biasa lebih disyorkan kerana jumlah pengunjung lebih sedikit dan pengalaman lebih tenang.

Sementara itu, Pengarah i-City, Datuk Eu Hong Chew berkata, I-Bhd telah bekerjasama dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam AI dan robotik.

“Presint AI World yang lebih luas dirancang untuk mengintegrasikan konsep komersial, kediaman dan kesejahteraan berteraskan AI, sekali gus menyokong peralihan jangka panjang kumpulan daripada pemaju hartanah tradisional kepada platform bandar berasaskan teknologi.

“Pusat pengalaman ini menekankan penerokaan berasaskan pengalaman dengan membantu pengunjung membina rasa ingin tahu, pemikiran kritikal dan pemahaman tentang bagaimana AI dan robotik akan membentuk kerjaya serta industri masa depan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN