PETALING JAYA – Sebuah rumah di kawasan kampung terpencil yang dijadikan markas transit migran asing ‘Sindiket Iqbal’ terbongkar selepas Jabatan Imigresen (JIM) menyerbu premis berkenaan dalam operasi khas di Kelantan, semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi itu tertumpu di sebuah premis yang dijadikan rumah penampungan migran yang dibawa masuk ke negara ini melalui laluan tidak sah.
Menurutnya, premis berkenaan terletak di kawasan kampung terpencil dan sukar dikesan, dipercayai digunakan bagi mengaburi mata pihak berkuasa selain berfungsi sebagai markas transit sebelum migran dihantar ke destinasi seterusnya.
“Hasil serbuan membawa kepada penahanan 12 warga Bangladesh terdiri daripada 11 lelaki dan seorang wanita berusia antara 18 hingga 54 tahun, serta seorang lelaki warga Myanmar etnik Rohingya berusia 27 tahun yang dipercayai bertindak sebagai penjaga premis.
“Siasatan awal mendapati kesemua migran terbabit memasuki negara ini sejak tiga hari lalu melalui laluan darat tidak diwartakan di sekitar sempadan Malaysia–Thailand.
“Mereka ditempatkan sementara di premis berkenaan bagi menunggu baki bayaran kemasukan sebelum dihantar ke lokasi destinasi seterusnya di dalam negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil risikan mendapati sindiket Iqbal dipercayai aktif sejak awal tahun 2024 dengan dalang utama merupakan warga Bangladesh yang dipercayai beroperasi dari Thailand.
Katanya, sindiket tersebut mengenakan bayaran antara RM10,000 hingga RM15,000 bagi setiap individu, dengan anggaran keuntungan keseluruhan mencecah RM1.5 juta hasil aktiviti haram berkenaan.
Beliau berkata, JIM kini sedang mengesan pemilik premis warga tempatan yang dipercayai bersekongkol dengan sindiket berkenaan dan siasatan dijalankan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) [Akta 670].
Serbuan dilaksanakan oleh Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Negeri Kelantan.
“Tindakan undang-undang tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu, sindiket, majikan atau pemilik premis yang menggaji, melindungi atau bersekongkol dengan pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai turut dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan melalui saluran aduan rasmi JIM bagi memastikan kedaulatan serta keselamatan negara sentiasa terpelihara. – KOSMO! ONLINE














