PETALING JAYA – Setiap sen wang rakyat mesti dipertanggungjawabkan selaras dengan teras Kerajaan Madani, kata Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Menurut beliau, prinsip kebertanggungjawaban bukan sahaja menjadi dasar Kerajaan Madani, malah merupakan komitmen peribadinya selaku anggota Kabinet.
Justeru, katanya, KDN menyokong penuh arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam untuk kementerian itu meneliti dan menambah baik sistem perolehan sedia ada.
“Seiring dengan agenda reform Kerajaan Madani yang menuntut kebertanggungjawaban, kecekapan serta integriti dalam pengurusan kewangan awam,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial hari ini.
Saifuddin Nasution seterusnya menegaskan, KDN sentiasa memberi komitmen penuh bagi memastikan sistem perolehan dilaksanakan berasaskan tatakelola yang telus, berintegriti dan bebas penyelewengan.
Sehubungan itu, katanya, beliau akan mengambil langkah susulan yang perlu supaya penambahbaikan dapat dilaksanakan secara teratur, berfasa dan berteraskan kepentingan rakyat.
Ujar beliau, tatakelola yang kukuh adalah asas kepada kepercayaan rakyat dan KDN memikul tanggungjawab itu sepenuhnya. – KOSMO! ONLINE














