AMPANG JAYA – “Saya gembira saja tinggal di sini sebab ada kawan-kawan untuk bermain, tak sunyi. Mak pun selalu datang ziarah, hari itu baru datang dan raya tahun ini pun mak kata akan ambil saya beraya di kampung di Slim River, Perak.”
Itu kata Ahmad (bukan nama sebenar), 38, seorang penghuni Pertubuhan Kebajikan OKU Al Hadid di sini, yang mengalami masalah pembelajaran ketika ditemui Kosmo!.
Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, sebelum ini dia menetap bersama ibunya yang bekerja sebagai tukang urut sebelum dihantar ke pusat jagaan itu atas faktor keselamatan.
“Saya duduk sini sebab mak terpaksa keluar banyak kali nak cari rezeki, sama juga dengan adik-beradik lain, jadi mereka beritahu nak hantar saya ke sini, lebih selamat,” katanya.
Ahmad juga mengakui tinggal di pusat jagaan itu lebih teratur disebabkan aktiviti sosial dan rutin harian yang disediakan.
Dia sentiasa memulakan harinya dengan bersarapan bersama penghuni lain sebelum menyertai aktiviti seperti sukan badminton yang menjadi kegemarannya.
“Saya paling suka dekat sini main badminton. Main dengan kawan-kawan. Kawan-kawan semua baik,” ujarnya.
Pengasas Pertubuhan Kebajikan OKU Al Hadid, Halmi Seali berkata, pusat jagaannya turut menyediakan pelbagai pendidikan dan latihan ringan.
Selain aktiviti riadah, jadual penghuni juga diisi dengan program kerohanian bagi memastikan jiwa mereka tenang, akhlak terpelihara dan kehidupan harian lebih terarah.
“Setiap penghuni di sini ada kisah masing-masing, ada yang mualaf, ada yang anak angkat, ada yang dibuang keluarga, namun kita raikan semua, kita jaga mereka sebaik mungkin.
“Saya juga berazam untuk menghantar beberapa pelajar ke sekolah istimewa walaupun dimasukkan di sini mereka ada melakukan aktiviti pendidikan,” katanya.














