fbpx
SEBAHAGIAN pelatih pada Majlis Pendaftaran PLKN 3.0 Siri 1 2026 di Kem Wataniah 505 di Pekan hari ini.

13 kem PLKN dibuka menjelang 2028

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PEKAN – Sebanyak 13 pusat latihan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan dibuka menjelang 2028 berbanding hanya dua buah kem berkenaan pada pada masa ini.

Pada masa ini dua buah pusat latihan yang dibuka adalah di Kem Wataniah 505 di Pekan bagi pelatih lelaki dan kem Wataniah 515 di Kuala Lumpur bagi pelatih wanita.

Pengarah Bahagian Operasi, Latihan Jabatan Latihan Khidmat Negara JLKN) Kolonel Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Mazlizan Shaikh Osman berkata, pada tahun ini tiga lagi kem akan dibuka iaitu di Gemas, Negeri Sembilan, Perlis dan di Kluang, Johor.

“Selain itu kita juga bersedia untuk menggunakan kem Malbatt di Port Dickson yang boleh menempatkan 800 pelatih bagi menampung pelatih dari semasa ke semasa.

“Dengan pembukaan kesemua kem di seluruh negara kecuali di Melaka itu akan melatih kira-kira 25,000 pelatih setahun,”katanya pada Majlis Pendaftaran PLKN 3.0 Siri 1 2026 di Kem Wataniah 505 di sini hari ini.

Kira-kira 500 pelatih termasuk daripada Sabah dan Sarawak menyertai latihan PLKN 3.0 Siri 1 2026 yang memulakan pendaftaran hari ini.

Menurut Mazlizan kem di Gemas, Negeri Sembilan dan Bukit Keteri, Perlis akan dibuka pada Julai depan manakala di Kluang, Johor akan dibuka pada Oktober ini.

Beliau memberitahu kem-kem dikenalpasti di seluruh negara dalam proses melengkapkan fasiliti dan kemudahan yang ada sesuai dengan pelaksaan PLKN termasuk fasiliti penginapan dan juga dewan makan.

Tambahnya, setiap kem PLKN boleh menempatkan 300 hingga 700 pelatih pada satu-satu masa melibatkan empat siri kursus yang akan dilaksanakan setiap tahun.

Dalam pada itu beliau berkata, dalam memperkasakan lagi PLKN 3.0 pihaknya akan melakukan kajian penerimaan ibu bapa dan pelatih terhadap program PLKN yang dilaksanakan.

Katanya, kajian dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi melihat impak program itu akan dimaklumkan daripada semasa ke semasa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI