KLANG – Seramai 28 pendatang asing tanpa izin (PATI) sanggup tidur dan bersesak dalam ruangan simpanan ikan hampir dua hari sebelum ditahan di perairan Kuala Selangor, awal pagi tadi.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 4.15 pagi apabila bot nelayan asing yang dinaiki semua warga Indonesia berusia 24 hingga 60 tahun cuba melarikan diri bersama tekong dan tiga awak-awak.
Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, Komander Maritim Mohd. Fairusnizam Abdul Razak berkata, bot berwarna merah tanpa nombor pendaftaran itu berjaya dipintas selepas berlaku adegan mengejar selama 15 minit pada kedudukan 3.6 batu nautika barat daya Kuala Selangor.
“Siasatan awal mendapati kesemua warga asing termasuk sembilan wanita itu dalam perjalanan menuju ke Tanjong Balai, Indonesia selepas bertolak sejak kelmarin,” katanya pada sidang akhbar, petang tadi.
Tambah Mohd. Fairusnizam, seramai 28 daripada mereka membayar upah sehingga RM1,900 seorang manakala tekong RM3,800 dan RM480 bagi awak-awak.
“Mereka yang tiada sebarang dokumen perjalanan diri yang sah dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah bagi tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM 2007),” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














