fbpx
Johari ditemui pada Perhimpunan Agung UMNO 2025 di WTC, hari ini. Foto oleh ISKANDAR ISHAK / KOSMO!

Ikhlas asas satukan orang Melayu – Johari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Keikhlasan perlu menjadi asas utama dalam setiap perancangan politik bagi memastikan usaha menyatukan orang Melayu dapat dilaksanakan secara berkesan dan berkekalan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, strategi politik yang dirangka tidak akan mampu bertahan lama sekiranya tidak disokong oleh keikhlasan serta kepimpinan yang berwibawa.

Menurutnya, politik bukan sekadar soal perancangan, sebaliknya menuntut kewujudan pemimpin yang kuat bagi memastikan hala tuju parti terus relevan dengan kehendak semasa.
“Dalam apa sahaja perancangan kita kena ada keikhlasan. Bila ikhlas, kemudian disusuli dengan strategi yang betul serta pemain-pemain politik yang dipimpin oleh pemimpin hebat.

“Kalau tidak, strategi itu hanya akan bertahan sekejap sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas ucapan dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), di sini, hari ini.

Johari berkata, usaha tersebut perlu dilihat sebagai satu harapan baharu buat seluruh orang Melayu memandangkan landskap politik dan pemikiran masyarakat kini semakin berubah.

“Negara ini telah merdeka selama 68 tahun dan jangkaan rakyat Melayu juga sudah banyak berubah. Dalam tempoh hampir lapan dekad ini, perubahan besar perlu diambil kira.

“Pandangan generasi muda juga mesti diberikan perhatian kerana jika tidak, UMNO akan kekal begini sahaja,” katanya.

Tambah beliau, perubahan perlu digerakkan dengan memberi peluang kepada golongan Melayu yang mempunyai pemikiran segar dan berwawasan bagi membawa aspirasi bersama demi kestabilan jangka panjang.

“Kita tidak boleh lagi berfikir seperti zaman awal kemerdekaan. Hari ini hampir semua orang Melayu mempunyai pemikiran yang sangat berbeza.

“Kita mahukan ‘the best of the Malays’, Melayu yang terbaik antara yang terbaik untuk ditonjolkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI