PETALING JAYA – “Alhamdulillah masih layak dapat Sara.”
Itu luahan seorang lelaki selepas membuat semakan kelayakan untuk program Sumbangan Asas Rahmah (Sara) bermula hari ini.
Menerusi hantaran pengguna Threads @Amer.visuals, meluahkan rasa syukur atas bantuan bulanan yang masuk pada pertengahan bulan.
“Baru tengah bulan. Gaji belum masuk, tapi keperluan harian tetap kena beli macam biasa. Alhamdulillah, nasib baik masih layak dapat Sara untuk bujang RM50. Nanti boleh aku guna untuk beli barangan dapur,” katanya.
Sementara itu, hantaran pengguna lain berkongsi beberapa barangan yang sudah dibeli dengan bantuan tersebut termasuk sabun, biskut, makanan dalam tin.
“Alhamdulillah. Sudah membeli dengan Sara RM50 untuk bujang,” ujarnya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seramai 3.1 juta individu bujang berusia antara 21 hingga 59 tahun layak menerima Sara bulanan.
Tinjauan Kosmo! mendapati masih ramai belum membeli barang selepas membuat semakan kelayakan Sara.
“Sudah dapat Sara tapi tak tahu nak beli apa lagi sekarang ini,” komen @Hramikayla.
“Baru buat semakan. Alhamdulillah dapat bantuan setiap bulan. Mungkin buat beli mi segera untuk makan hujung bulan nanti,” komen @Nrikasara_. –KOSMO! ONLINE














