KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditahan polis selepas dikesan memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang ditetapkan dalam satu kejadian di Lebuh Raya Kuala Lumpur – Seremban, petang semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, tangkapan tersebut dilakukan kira-kira pukul 6.39 petang membabitkan seorang lelaki berusia 41 tahun.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut dan ujian pernafasan yang dijalankan ke atas pemandu berkenaan mendapati tahap kandungan alkohol dalam darahnya adalah sebanyak 107 miligram/100 mililiter.
“Bacaan tersebut jelas menunjukkan ia melebihi had yang dibenarkan di bawah undang-undang.
“Suspek telah ditahan oleh pihak JSPT Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd Zamzuri berkata, insiden tersebut bukanlah satu kemalangan jalan raya, sebaliknya merupakan tindakan penguatkuasaan terus terhadap pemandu di bawah pengaruh alkohol.
“Tiada sebarang kemalangan atau kecederaan dilaporkan berlaku melibatkan kenderaan suspek mahupun pengguna jalan raya yang lain dalam kejadian ini,” katanya.
Susulan tangkapan itu katanya, kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut dan proses pertuduhan ke atas suspek dijangka akan dijalankan pada hari ini. – KOSMO! ONLINE














