fbpx
ROSMAN

Pandangan legenda isu Velodrom Rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ISU kerosakan dan masa depan Velodrom Rakyat di Ipoh, Perak menyentuh hati legenda berbasikal trek negara, Rosman Alwi yang mempunyai ikatan emosi mendalam dengan gelanggang keramat tersebut.

Trek itulah yang menyaksikan bekas pelumba berkenaan pernah melakar sejarah peribadi dan negara apabila muncul juara Kejohanan Dunia B pada 1995.

Rosman meluahkan rasa terkilan keadaan daif velodrom itu sebenarnya boleh dielakkan jika pandangan pakar dan pengalaman pelumba diambil kira sewaktu fasa awal pembinaan dahulu.

Beliau mendedahkan, nasihatnya dan arwah bapanya mengenai struktur dan jenis permukaan trek telah dipandang sepi oleh panel terlibat serta jurutera ketika itu.

Berdasarkan pengalamannya berlatih di Eropah, dia pernah mengusulkan dua pilihan utama bagi memastikan velodrom tersebut tahan lama dalam cuaca panas dan lembap di Malaysia, namun kedua-duanya ditolak.

“Saya cadangkan buat trek 250 meter dengan bumbung separa menutup bahagian trek. Jika hujan, hanya bahagian tengah (padang) yang basah tetapi trek kayu kekal terlindung. Ini mampu memanjangkan hayat trek sehingga lima ke 10 tahun dengan penyelenggaraan berkala.

“Jika mahu terbuka sepenuhnya, saya cadangkan bina trek 250 meter daripada konkrit atau simen kerana ia jauh lebih tahan lasak. Namun, mereka dakwa jika buat terbuka guna kayu pun boleh tahan sampai 10 tahun. Saya kata ia hanya mampu bertahan 3 atau 4 tahun.

“Jelas selepas satu kejohanan besar dahulu, trek sudah mula uzur kerana cuaca terik Malaysia tidak sesuai untuk trek kayu outdoor,” kata Olimpian yang pernah beraksi di Sukan Olimpik Los Angeles 1984 dan Seoul 1988.

Mengulas mengenai cadangan sesetengah pihak agar Velodrom Rakyat diswastakan bagi menyelamatkannya, Rosman menolak idea tersebut ia adalah hasil sumbangan ikhlas rakyat satu ketika dahulu dan tidak wajar dipersulitkan dengan syarat-syarat komersial swasta.

“Tak payah swastakan nanti banyak pula terma-terma yang akhirnya menyusahkan rakyat.

“Kerajaan Negeri atau Jabatan Belia dan Sukan Negeri perlu ambil alih sepenuhnya. Lantik pegawai benar-benar berdedikasi terhadap sukan untuk menjaganya. Jangan bagi Persatuan Negeri kendalikan, takut ‘silap tangan’ hancur jadinya,” tegas beliau.

Dalam pada itu, Rosman turut menitipkan pesanan tegas kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) supaya tidak sekadar menagih ihsan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) semata-mata.

“PKBM jangan harap KBS sahaja, mereka kena usaha sendiri mencari dana. Kerahkan jentera kerja mereka buat paperwork untuk cari dana. Sampai bila hendak mengharap ihsan orang sedangkan Velodrom Rakyat itu hak semua rakyat?” katanya.

Velodrom pertama negara itu pernah menjalani proses baik pulih dengan KBS memperuntukkan RM11 juta pada 2016 bagi membolehkan ia kembali digunakan selepas mengalami kerosakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN