KUALA LUMPUR – Sebuah keluarga hidup dalam ketakutan selepas anak perempuan mereka didakwa melarikan diri selepas membuat pinjaman daripada 20 along membabitkan jumlah keseluruhan RM20,000.
Menurut Heng, 61, anak perempuannya, Lai, 37, juga tidak dapat dihubungi sejak pertengahan Disember tahun lalu.
Dakwanya, sebelum menghilangkan diri, Lai dipercayai telah membuat pinjaman daripada beberapa individu tanpa pengetahuan keluarga.
“Along yang terlibat turut mengugut akan menyebarkan gambar anak saya dan menantu lelaki yang dikatakan diseksa, selain mendedahkan butiran peribadi mereka di media sosial jika hutang tidak dilunaskan,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat Persatuan Cina Malaysia (MCA) di sini, hari ini.
Dalam kes berasingan, Chia, 53, berkongsi pengalaman keluarganya menjadi mangsa ugutan selepas adik lelakinya membuat pinjaman RM30,000 daripada along dan kemudian melarikan diri.
Chia berkata, rumah mereka disimbah cat hijau dan merah sebagai amaran.
“Adik saya keluar dari rumah Jun tahun lalu. Tanpa pengetahuan kami, dia memberikan maklumat peribadi kami seperti kad pengenalan, nombor telefon dan alamat rumah sebagai penjamin.
“Along turut mengugut mahu menyebarkan gambar serta membakar rumah dan kereta kami. Keselamatan diri dan keluarga kini menjadi kebimbangan utama,” ujarnya.
Wanita itu berkata, dia mengambil keputusan untuk tidak lagi bertanggungjawab terhadap hutang adiknya bagi mengelakkan terus terheret dalam masalah along. – KOSMO! ONLINE














