fbpx
Antara warga asing yang ditahan dalam Op Kutip yang dijalankan malam tadi.

Menyorok elak imigresen, pijak paip hingga rumah dinaiki air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Cubaan seorang lelaki warga asing mengelak dicekup pihak berkuasa berakhir malang apabila saluran paip yang dipijaknya patah, menyebabkan unit kediamannya dibanjiri air.

Insiden itu berlaku ketika Op Kutip dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen (JIM) Kuala Lumpur di sebuah pangsapuri lama di Chow Kit, di sini, awal pagi tadi.

Operasi berkenaan berdepan cabaran apabila pemeriksaan terpaksa dilakukan sehingga ke tingkat 19, selain berdepan pelbagai taktik warga asing yang cuba bersembunyi, termasuk di sebalik timbunan barangan lusuh dan di bawah singki.

Seorang lelaki warga Indonesia berusia lingkungan 30-an ditemui menyorok di celah tangki air, namun tindakannya itu menyebabkan paip pecah dan air melimpah ke dalam rumah.

“Pasport saya sudah tamat tempoh. Saya sorok sebab takut,” katanya.

Difahamkan, anggota operasi terpaksa membuka pintu unit berkenaan selepas beberapa kali ketukan tidak disahut, sebelum menemui beberapa individu lain yang turut bersembunyi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, serbuan yang bermula kira-kira jam 12.30 tengah malam itu menahan seramai 79 individu, termasuk 23 wanita, berusia antara 17 hingga 55 tahun.

Menurutnya, tangkapan membabitkan 39 warga Indonesia, 25 Bangladesh, 10 Nepal, dua India, dua Pakistan dan seorang Myanmar, disyaki melakukan kesalahan imigresen.

“Kebanyakan mereka bekerja sebagai pengawal keselamatan dan buruh tapak pembinaan serta tinggal dalam keadaan sesak.

“Keadaan persekitaran kediaman juga tidak memuaskan, berbau dan dipenuhi sampah sarap sehingga berisiko menimbulkan masalah kesihatan,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, kawasan berkenaan dikenal pasti sebagai antara lokasi tumpuan pendatang asing tanpa izin (PATI) di ibu negara.

“Penguatkuasaan akan terus dilaksanakan secara menyeluruh. Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap PATI dan juga majikan bagi menjaga kedaulatan negara,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI