PETALING JAYA – Kerajaan Madani akan terlibat secara langsung dalam misi Global Sumud Flotilla 2.0 yang bakal membabitkan penyertaan lebih 80 negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menerima kunjungan Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center, Datuk Sani Araby yang juga Ketua Aktivis Kemanusiaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia bersama Pengasas Sumud Nusantara, Nadir Al-Nuri di Perdana Putra petang semalam.
Menurutnya, beliau dimaklumkan situasi kemanusiaan di Gaza semakin meruncing, sekatan bantuan berpanjangan, ketidaktentuan konflik, serta penderitaan rakyat Palestin terus dihimpit kekejaman.
“Saudara Sani dan Nadir juga berkongsi keberhasilan Misi Sumud Nusantara yang berjaya memecahkan kebisuan dunia dan mengangkat suara Gaza ke pentas antarabangsa.
“Kami turut bicarakan gerak kerja misi kemanusiaan seterusnya, termasuk peranan penting Kerajaan Malaysia dalam Global Sumud Flotilla 2.0 yang bakal melibatkan penyertaan lebih 80 negara,” katanya pada hantaran di media sosial malam tadi.
Anwar berkata, misi Global Sumud Flotilla 2.0 sebagai kesinambungan perjuangan moral antarabangsa, menuntut keberanian untuk menegakkan keadilan dan hak kemanusiaan tanpa mengira batas sempadan, bangsa atau agama.
“Insya-Allah, kita akan menggerakkan segala kudrat untuk membantu dan memperjuangkan hak rakyat Palestin. Keadilan ini tidak boleh lagi ditangguhkan demi sebuah Palestin yang bermaruah dan merdeka,” katanya. – KOSMO! ONLINE














