KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi bayangan bahawa pihaknya tidak akan lagi memikul beban bersendirian untuk ‘menyelamatkan’ Velodrom Rakyat di Ipoh, sebaliknya menuntut Kerajaan negeri Perak dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) tampil bertanggungjawab.
Kenyataan tegas itu hadir susulan laporan Kosmo! semalam yang mendedahkan fasiliti bersejarah itu kini berada dalam keadaan ‘nyawa-nyawa ikan’ dan tidak selamat digunakan, memaksa PKBM memohon campur tangan segera pihak kementerian.
Menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, KBS menjelaskan bahawa status pemilikan fasiliti sukan itu adalah di bawah Kerajaan negeri Perak sepenuhnya dan diselia oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
Justeru, KBS menjelaskan bahawa sebelum ini pihaknya telah menyalurkan dana yang besar untuk memulihkan trek tersebut beberapa tahun lalu.
“Velodrom Rakyat Ipoh telah siap dibina pada tahun 1989 di atas tanah milik kerajaan negeri.
“Semasa penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) di Perak pada tahun 2018, Kerajaan Persekutuan melalui KBS telah memperuntukkan dana sebanyak RM12.7 juta untuk menaik taraf fasiliti ini selari dengan tanggungjawab bersama memajukan sukan negara,” kata kenyataan itu.

KBS turut mengingatkan bahawa pembangunan sukan adalah termaktub di bawah Senarai Bersama dalam Perlembagaan Persekutuan, justeru tanggungjawab menjaga fasiliti sukan tidak seharusnya bersifat satu hala atau diletakkan di bahu Kerajaan Persekutuan semata-mata.
Sehubungan itu, KBS menyeru agar pihak berkaitan mengambil langkah proaktif dalam memastikan velodrom keramat itu terus berfungsi dan selamat.
“Justeru, KBS berharap Kerajaan Negeri dan PKBM turut memainkan peranan dalam menyenggara fasiliti ini supaya dapat dimanfaatkan oleh atlet dan rakyat khususnya di Perak,” tambah kenyataan itu lagi. -KOSMO! ONLINE














