HULU TERENGGANU – Gara-gara takut ditahan atas kesalahan kononnya terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram, seorang penjawat awam kerugian RM100,000 akibat diperdaya sindiket penipuan atau ‘scammer’.
Wanita berusia 43 tahun tersebut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, pada mulanya, wanita terbabit telah dihubungi individu tidak dikenali mendakwa kononnya pegawai sebuah syarikat insurans pada 16 November tahun lalu.
“Mangsa terkejut apabila didakwa kononnya terlibat dalam pemalsuan tuntutan insurans sebelum panggilannya disambung pula ke dua suspek lain mendakwa kononnya pegawai polis dan timbalan pendakwa raya.
“Dia bertambah takut apabila diberitahu pula kononnya terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram,” katanya di sini hari ini.
Sharudin berkata, penjawat awam itu kemudiannya diarahkan membuat beberapa transaksi kewangan kononnya bagi mengelakkan waran tangkap dikeluarkan.
Beliau berkata, wanita tersebut yang gelabah telah membuat pinjaman bank sebanyak RM100,000 sebelum memindahkan wang tersebut ke beberapa akaun miliknya.
“Mangsa juga memberitahu maklumat perbankan miliknya kepada suspek sebelum mendapati kesemua wang tersebut dikeluarkan tanpa kebenarannya pada semalam,” katanya. – KOSMO! ONLINE














