PONTIAN – Hasrat seorang ibu muda memasang alat pencegahan kehamilan (IUCD) bertukar detik hitam dalam hidupnya apabila terpaksa menanggung kesakitan akibat kesilapan pasukan perubatan memasang alat berkenaan di sebuah klinik di Pekan Nenas di sini, akhir tahun lalu.
Nurul Damia Asyiqin Ayub, 27, berkata, dia membuat keputusan itu bagi menjarakkan kelahiran anak selepas habis tempoh berpantang melahirkan anak ketiga.
Jelasnya, dia ke klinik berkenaan pada tarikh janji temu iaitu pada 19 Disember lalu bertujuan untuk memasang IUCD.
“Sebenarnya saya baru habis tempoh berpantang selepas bersalin anak ketiga, namun bercadang untuk memasang IUCD bagi menjarakkan kehamilan atas saranan doktor berbanding penggunaan pil.
“Doktor memaklum saya tidak sesuai mengambil pil bagi tujuan tersebut tetapi lebih baik dengan kaedah pemasangan IUCD kerana jika pengunaan pil, susu badan saya akan kering.
“Semasa proses memasang IUCD, saya terdengar perbualan antara doktor perubatan dan jururawat bertugas, mereka berkata berlaku kesilapan sebab sepatutnya IUCD dipasang hanya antara lapan hingga sembilan sentimeter (cm) namun mereka telah pasang IUCD sepanjang 11cm,” katanya ditemui di kediamannya di Kampung Melayu Raya, Pekan Nenas di sini.
Nurul Damia yang juga seorang jurusolek berkata, selepas selesai pemasangan IUCD, doktor memaklumkan dia perlu dirujuk ke mana-mana doktor pakar untuk menyelesaikan masalah atau kesilapan itu.
Jelasnya, akibat kesilapan itu, dia merasakan kesakitan seolah-olah perutnya seperti mahu terburai sebelum dia membuat keputusan membuat imbasan sinar-X (X-ray) di sebuah klinik swasta di Pekan Nenas di sini.
Luluh hatinya apabila imbasan X-ray menunjukkan tidak berada di kedudukannya.
“Pada 21 Disember, saya ke sebuah hospital di Johor Bahru untuk membuat pemeriksaan lanjut dan pakar membuat imbasan dan rakaman video, mereka akui berlaku kesalahan pemasang alat tersebut,” katanya.
Nurul Damia berkata, proses pembedahan bagi mengeluarkan peralatan tersebut dibuat pada 2 Januari lalu, di mana pihak doktor mendapati apendiks telah pecah, usus besar dan kecil telah luka selain rahim telah bocor.
Menurutnya, keadaan tersebut menyebabkan dia tidak boleh bersalin secara normal pada masa akan datang dan perlu melalui proses pembedahan bagi mengeluarkan bayi.
Susulan itu, dia membuat satu laporan polis di Balai Polis Pekan Nanas pada 21 Disember tahun lalu kerana keselamatan dirinya pada masa akan datang.
“Dalam masa yang sama, saya juga telah membuat aduan kepada Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) dan telah melantik peguam bagi membawa kes kecuaian ini ke mahkamah,” katanya. – KOSMO! ONLINE














