fbpx
Anthony melawat reruai di Majlis Perasmian Karnival Pengangkutan Siswa Madani & Flysiswa 2026 di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan & Kesenian, UPM Serdang hari ini. Foto oleh AMIR KHALID / KOSMO!

RM24 juta bantu 60,000 pelajar terbang pulang dengan FlySiswa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SERDANG – Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM24 juta bagi pelaksanaan inisiatif FlySiswa 2026 untuk membantu seramai 60,000 pelajar institusi pengajian tinggi menampung kos penerbangan domestik.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, inisiatif itu memberi fokus kepada pelajar yang berulang-alik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Menurut beliau, setiap pelajar yang layak akan menerima baucar digital bernilai RM400 yang boleh digunakan bagi pembelian tiket penerbangan domestik.
“Pelajar bebas merancang perjalanan mereka sendiri dan memilih penerbangan paling menjimatkan, tidak terhad kepada satu perjalanan sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Pengangkutan Siswa Madani & FlySiswa 2026 di Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini hari ini.

Katanya, FlySiswa yang bermula pada 2023 kini dilaksanakan sebagai program tahunan selepas mendapat peruntukan khusus daripada Kementerian Kewangan.

Tambah beliau, inisiatif itu melibatkan beberapa syarikat penerbangan termasuk Malaysia Airlines, AirAsia, Batik Air, Firefly dan Air Borneo.

Anthony berharap semua pelajar yang layak tampil menuntut bantuan berkenaan supaya peruntukan yang disediakan dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pelaksanaan inisiatif FlySiswa membuktikan keberkesanan kerjasama pelbagai kementerian dalam memastikan kebajikan pelajar terus diberi perhatian.

Katanya, tiada satu kementerian yang mampu melaksanakan inisiatif berskala besar secara bersendirian tanpa sokongan dan komitmen kementerian lain.

“FlySiswa dilaksanakan hasil kerjasama erat antara Kementerian Pengangkutan dengan Kementerian Pendidikan Tinggi.

“Setiap kementerian memainkan peranan tersendiri bagi memastikan inisiatif ini dapat dilaksanakan dengan lancar,” katanya.

Anthony berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi bertanggungjawab menyediakan data pelajar yang layak bagi memastikan bantuan disalurkan tepat kepada kumpulan sasaran.

Katanya, tanpa perkongsian data yang sistematik, pelaksanaan FlySiswa tidak dapat dijalankan secara cekap dan menyeluruh.

“Kejayaan FlySiswa menjadi contoh bagaimana koordinasi antara kementerian mampu menghasilkan dasar yang memberi impak langsung kepada masyarakat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI